Home Nasional Pemandu lori maut, hilang kawalan akibat masalah kesihatan

Pemandu lori maut, hilang kawalan akibat masalah kesihatan

KUALA LUMPUR – Malang tidak berbau. Seorang pemandu lori menemui ajal selepas hilang kawalan lori yang dipandunya akibat masalah kesihatan dalam kejadian hari ini.

Kejadian dilaporkan berlaku sekitar jam 12 tengahari tadi ketika mangsa cuba mengelak daripada melanggar lori yang diletakkan di bahu jalan di Kampung Melaka, Jalan Hulu Langat.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, siasatan awal polis mendapati semasa kejadian mangsa sedang dalam perjalanan dari Hulu Langat menuju ke Batu 9 Cheras.

“Sejurus selepas tiba di tempat kejadian, mangsa cuba mengelak lorinya melanggar lori yang diparkir di bahu tepi jalan namun gagal dalam usahanya.

“Akibatnya lori mangsa terus merempuh perhentian bas dan sebuah gerai makan yang terletak di tepi bahu tersebut.

“Lori mangsa remuk di bahagian hadapan manakala mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian berkemungkinan mengalami masalah kesihatan, ” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau pegawai perubatan yana tiba ke tempat kejadian mengesahkan mangsa meninggal dunia.

Katanya, kedua-dua kenderaan itu telah dibawa ke Balai Trafik Ibu Pejabat Pols Kajang untuk Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom).

“Mayat mangsa telah dirujuk ke Hospital Serdang untuk dibedah siasat bagi menentukan punca kematian.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan dikendalikan oleh Pegawai Penyiasat Inspekor Dinesh Ganasan,” tegasnya.