Home Politik Pemuda BN buat laporan polis ekoran kenyataan Mohammaddin

Pemuda BN buat laporan polis ekoran kenyataan Mohammaddin

Asyraf Wajdi Dusuki

KUALA LUMPUR – Pemuda Barisan Nasional (BN) Sabah membuat laporan polis terhadap kenyataan kontroversi Datuk Mohammaddin Ketapi yang mendakwa tragedi serangan di Lahad Datu satu sandiwara untuk menyelamatkan UMNO.

Ketua Pemuda BN, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki menegaskan, kenyataan yang dikeluarkan oleh bekas Menteri Pelancongan itu amat melampau.

”Persoalannya apakah kematian 10 anggota polis dan dua anggota tentera yang terkorban akibat dibunuh dengan kejam merupakan satu sandiwara?

”Sudah hilangkah rasa simpati terhadap perasaan keluarga anggota keselamatan yang terkorban mempertahankan kedaulatan Sabah?” soalnya yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO dalam kenyataan hari ini.

Dengan laporan polis yang dibuat itu, Asyraf Wajdi berharap pihak berkuasa dapat mengambil tindakan segera dan tegas terhadap fitnah hasutan dan penghinaan ke atas anggota keselamatan negara ini.

Malah bliau mengajak rakyat Sabah menolak Parti Warisan yang berterusan memainkan sentimen kebencian terhadap Semenanjung termasuk anggota keselamatan negara ini.

Ahli Parlimen Lahad Datu itu dikecam oleh pelbagai pihak termasuk rakyat di negara ini apabila menyifatkan peristiwa berdarah di Kampung Tanduo pada tahun 2013 sebagai sandiwara.

Ia susulan penularan klip video beliau yang menyatakan jet pejuang dan kereta kebal yang datang ketika ancaman itu hanya menembak ayam dan anjing sahaja selain memusnahkan kebun kelapa sawit penduduk. – MalaysiaGazette