Home PRN Sabah Saya tak pernah hina anggota keselamatan – Mohamaddin

Saya tak pernah hina anggota keselamatan – Mohamaddin

Mohamaddin Ketapi

KUALA LUMPUR – Setelah dikritik teruk, pemimpin kontroversi Parti Warisan Sabah, Datuk Mohamaddin Ketapi hari ini  menafikan beliau menghina anggota keselamatan dalam kes di  Lahad Datu.

Bekas Menteri Pelancongan, Seni dan Warisan itu berkata, beliau tidak pernah berniat memperkecilkan apatah lagi menghina anggota keselamatan yang telah berjuang bermati-matian untuk menjaga kedaulatan negara daripada penceroboh.

Katanya, kenyataan beliau semasa berkempen di Kampung Wawasan telah disalahertikan semua pihak.

“Kegagalan kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam memantapkan aset sempadan negara sehingga memungkinkan kejadian pencerobohan ini berlaku.

“Saya nak jelaskan di sini kenyataan saya disalahertikan semasa kempen di Kampung Wawasan yang mana saya tidak pernah sesekali berniat menghina atau memperkecilkan pengorbanan mati-matian anggota keselamatan negara yang menjaga negara dari diceroboh.

“Ketika memberikan ceramah tersebut saya memberikan gambaran akan kesukaran yang dihadapi oleh anggota keselamatan kita dalam mempertahankan kedaulatan negara yang berpunca daripada kelemahan kerajaan terdahulu dalam menyelesaikan isu pendatang asing tanpa izin,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum itu, satu video tular di media sosial memaparkan beliau berucap kononnya memperlekeh insiden Tanduo itu dan mendakwa pencerobohan Lahad Datu pada tahun 2013 hanya satu sandiwara.

Menurut Mohamaddin yang juga Ahli Parlimen Lahad Datu, video itu seharusnya dimainkan sepenuhnya dan bukan hanya merujuk kepada soal tersebut semata-mata.

Beliau yang juga calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Segama itu mengutuk sekeras-kerasnya permainan kotor pihak tertentu yang jelas mahu menjatuhkan maruah parti Warisan.

Apa pun, ujarnya sekiranya isu pendatang tanpa izin menjadi keutamaan kerajaan terdahulu, kejadian di Tanduo tidak mungkin berlaku.

Oleh demikian Mohamaddin sekali lagi menegaskan beliau sama sekali tidak menghina anggota keselamatan yang bertugas semasa kejadian di Tanduo seperti yang diputarbelitkan oleh pihak lawan khususnya parti dari Semenanjung.

“Bagaimanapun, saya memohon maaf sekiranya video yang ditularkan dengan niat jahat tersebut menggores hati anggota-anggota keselamatan keseluruhannya,” katanya. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Mohamaddin anggap kes Lahad Datu hanya sandiwara?

4 Komen

  1. Ayam..anjing..akhirnyr jadi tikus..
    Inikah pemimpin yg org sabah nak?
    Jangan diperbodohkan lagi dengan putar belit warisan ni.. parti2 PH dulu pun menang atas ticket penipuan saja..

Comments are closed.