KUALA LUMPUR – Gara-gara sebuah kipas angin meja, persahabatan sekumpulan warga asing berakhir dengan tragedi apabila salah seorang rakan senegara dari Myanmar mati didakwa ditikam dalam satu kejadian di Seri Kembangan semalam.
Ketua Polis Serdang, Asisten Komisioner Ismadi Borhan berkata, mayat mangsa ditemui dengan kesan tikaman di badan dan kepalanya di Jalan 43, Taman Pinggiran Putra.
Katanya, polis menerima panggilan mengenai kejadian itu daripada orang awam sekitar jam 10.15 malam semalam.
“Polis bergegas ke lokasi kejadian sebelum sisatan mendapati mangsa berusia lingkungan 30 tahun itu ditemui dalam keadaan berlumuran darah.
“Oleh kerana mereka merebut kipas angin meja dan akibat tidak berpuas hati, mangsa ditikam di bahagian belakang dan terus rebah di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah Ismadi, siasatan lanjut polis mendapati mangsa dipercayai meninggal dunia akibat beberapa tikaman di bahagian belakang badan, leher dan kepala.
Berikutan kejadian itu, katanya, usaha memburu saspek-suspek senegara mangsa telah dipergiatkan dan polis berjaya menjejakinya.
Ujarnya mayat kini ditempatkan di Hospital Serdang untuk proses bedah siasat bagi mengetahui punca kematian.
“Post mortem akan dijalankan untuk mencari punca sebenar kecederaan yang menyebabkan kematian mangsa. Polis telah mengenalpasti saspek terlibat dan tangkapan telah dilakukan bersabit kes ini, usaha kesan dan tangkap seorang lagi saspek berusia 30-an yang masih bebas dalam tindakan.
“Kita berjaya menangkap tiga saspek yang juga warganegara Myanmar di sekitar Seri Kembangan selepas kejadian kerana disyaki terlibat dalam perbuatan jenayah itu bagi membantu siasatan.
“Siasatan lanjut masih diteruskan oleh Bahagian Siasatan Jenayah IPD Serdang,” tegasnya.-Malaysia Gazette