TAWAU – Disebabkan peningkatan mendadak kes positif Covid-19 di Tawau, calon-calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah nampaknya beralih dengan berkempen melalui media sosial.
Menurut calon DAP untuk Dewan Undangan Negeri (DUN) Sri Tanjung, Justin Wong, langkah itu berkesan apabila rata-rata pengundi lebih suka menggunakan media sosial berbanding berdepan dengan calon secara terbuka.
“Kali ini, kami berkempen dengan menggunakan platform media sosial secara aktif. Kami melihat penularan pendemik Covid-19 amat serius di Tawau jadi kami mengambil perhatian dan kami melihat orang Tawau sangat aktif dalam Facebook,” katanya selepas meninjau proses undian awal di Ibu Pejabat Dearah (IPD) Tawau hari ini.
Dalam pada itu, Justin berpuas hati dengan perjalanan proses undian polis dan pihak keselamatan.
“Setakat apa yang saya lihat berjalan dengan lancar dan tiada apa-apa masalah yang timbul,” katanya lagi.
Bagi calon Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS), Yapp Yin Hoau, jentera pilihan rayanya sudah tidak melakukan sebarang ceramah politik kerana bimbang akan penularan Covid-19.
Katanya, hanya kempen secara media sosial dijalankan sehingga 26 September depan.
“Kami di Parti Harapan Rakyat Sabah sudah tidak buat ceramah politik, hanya kempen secara online sejak dua hari lepas disebabkan peningkatan kes positif Covid-19.
“Sangat puas hati dengan kempen secara online,” katanya lagi.
Sejumlah 16,877 orang pengundi terdiri daripada anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan anggota keselamatan mengundi awal hari ini di 55 Pusat Mengundi Awal. – MalaysiaGazette