SEPANG – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah institusi mufti memerlukan perekayasaan kaedah dan penggunaan dalam menangani cabaran dunia semasa demi memastikan mufti kekal dihormati sebagai sumber rujukan agama berwibawa.
Baginda bertita, dalam proses mengeluarkan fatwa amat penting memberi perhatian kepada lapan komponen dengan memastikan fatwa itu diterima secara positif dengan hati terbuka, berupaya meneguhkan pegangan ummah terhadap Islam dan mendekatkan mereka dengan Allah serta tidak dianggap berunsur mengongkong dan menekan.
Titah baginda, ruang masa perundingan yang cukup perlu diberikan dan melakukan perundingan silang termasuk perbincangan dengan pelbagai pihak berkepentingan ketika menangani isu-isu baharu yang belum ada duluan demi menjamin fakta-fakta dapat dianalisis secara mendalam, komprehensif dan teliti.
“Mengambil ingatan bahawa semakin ramai ummah memiliki pendedahan pendidikan yang lebih terbuka, daya intelek tinggi, bersifat ingin tahu, berfikiran kritikal, melakukan kajian dan rujukan perbandingan dan tidak mudah memamah serta menerima sesuatu perkara sebelum diyakinkan.
“Kemajuan teknologi komunikasi telah berubah, sambutan dan penerimaan fatwa dalam masyarakat moden. Dalam era internet, telah muncul banyak laman sesawang yang berbeza-beza fatwa, yang boleh dirujuk sebagai sumber alternatif dalam ummah untuk mendapatkan fatwa.
“Urusan fatwa tidak berakhir di peringkat mengeluarkan fatwa. Mekanisme penghebahan dan penerangan perlu dilaksanakan melalui pelan komunikasi yang berkesan agar sesuatu yang fatwa dapat difahami, diterima, dihargai dan dihayati,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian sempena Multaqa Jawatankuasa Fatwa Seluruh Malaysia di Sama-Sama Hotel KLIA hari ini.
Hadir sama, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.
Sultan Nazrin bertitah, sensitif terhadap realiti lingkungan masyarakat, negara dan lingkungan dunia yang terdiri daripada pelbagai agama, kumpulan etnik, budaya dan ideologi politik juga perlu diberi perhatian agar susun kata sesuatu fatwa tidak mengundang polemik dan kontroversi hingga berpotensi mencetuskan konflik, persengketaan dan persepsi negatif terhadap Islam.
Titah baginda, pengeluaran fakta perlu tegas dengan tafsiran berlandaskan ajaran Islam serta teguh berkecuali pelbagai kecondongan politik kepartian dan sama sekali tidak bersubahat dengan usaha usaha yang mementingkan menghalalkan cara, hatta jika diarahkan oleh mana- mana pihak yang berkuasa sekalipun.
“Menimbang sesuatu arahan atau permintaan agar akauntabiliti utama terhadap Allah SWT dan kepentingan ummah tidak dipinggirkan demi menjamin kebenaran dapat ditegak dan keadilan dapat dilaksanakan,” titah baginda.
Sementara itu, Multaqa Jawatankuasa Fatwa Seluruh Malaysia anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) itu bermula semalam selama tiga hari.
Program tahunan merupakan satu forum perbincangan dan percambahan fikiran dalam muizzuddin yang menyeluruh di antara mufti-mufti dan barisan ahli Jawatankuasa Fatwa seluruh Malaysia yang memberikan impak besar khas dalam tadbir urus institusi kefatwaan di Malaysia.
Persidangan itu juga satu usaha untuk mewujudkan wahdatul fikr dan wahdatul amal dalam isu dan permasalahan agama yang semakin mencabar serta menzahirkan satu kesepakatan dan hubungan kerjasama yang padu ke arah memartabatkan institusi fatwa di negara. – MalaysiaGazette