Home Ekonomi Pelabur domestik, asing berminat melabur di CVIA

Pelabur domestik, asing berminat melabur di CVIA

Datuk Seri Mustapa Mohamed

KUALA LUMPUR – Projek pembangunan Lembah Chuping (CVIA) yang bernilai RM197.9 juta telah mendapat perhatian pelabur apabila lapan pelabur, masing-masing empat pelabur tempatan dan asing menyatakan minat.

Empat pelabur tempatan itu adalah dalam kluster halal dan pendidikan yang akan membawa pelaburan masuk sebanyak RM415 juta dan mewujudkan 500 peluang pekerjaan yang terdiri daripada 150 pekerjaan mahir dan 350 pekerjaan separa mahir dalam bidang kesihatan.

Sementara itu untuk pelaburan asing (FDI) pula, terdapat empat pelabur asing daripada kluster E&E dan teknologi hijau yang telah menunjukkan minat untuk melabur di CVIA.

Menteri Ekonomi, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, anggaran jumlah FDI ini adalah sebanyak RM553.6 juta dengan 5,100 peluang pekerjaan bakal diwujudkan merangkumi 1,530 pekerjaan mahir dan 3,570 pekerjaan separa mahir dalam bidang elektrik dan elektronik.

CVIA telah diluluskan pada tahun 2016 di bawah Rancangan Malaysia Kesebelas merangkumi pembangunan Pusat Perniagaan Bersepadu (IBC), kerja-kerja tanah, sistem rangkaian jalan raya, perparitan, bekalan air, pembentungan, bekalan elektrik dan telekomunikasi.

Peruntukan Kerajaan Persekutuan untuk pembangunan projek di CVIA adalah untuk penyediaan kemudahan infrastruktur bagi menarik pelabur ke Perlis.

Menjawab soalan Senator Kamaruddin Abdun di Dewan Negara hari ini, Mustapa berkata, dua komponen utama projek pembangunan CVIA itu adalah IBC dan kawasan perindustrian yang akan dilaksanakan dalam dua fasa.

”CVIA diharap akan menarik pelaburan dalam bidang industri Solar Energy Generation, Green Manufacturing dan Industri Halal,” katanya.

IBC dengan kos RM40 juta telah siap dibina dan berfungsi sebagai pusat pentadbiran, operasi dan pemasaran bagi memudahkan para pelabur berurusan di CVIA telah siap dibina di atas tanah seluas 5.25 ekar.

Pada masa ini, terdapat beberapa penyewa yang terdiri daripada pelabur-pelabur dalam bidang pengujian elektrik seperti Tessolve Sdn Bhd serta agensi kerajaan seperti PDRM telah berfungsi di IBC.

Selain itu, syarikat-syarikat lain yang bakal beroperasi di IBC adalah terdiri daripada pelabur dalam bidang peranti perubatan.

Tambah Mustapa, bagi komponen pembinaan kawasan perindustrian yang meliputi kawasan seluas 2,468.76 ekar, pelaksanaan meliputi Fasa 1 membabitkan
meliputi kawasan seluas 440 ekar yang terbahagi kepada dua peringkat penyiapan iaitu dengan kos RM184 juta, yang mana RM157.9 juta telah disediakan di bawah RMKe-11 dan bakinya akan dibiayai di bawah RMKe-12.

Ia melibatkan kawasan seluas 60 ekar yang bermula pada 1 Jun 2020 dan dijangka siap pada 31 Januari 2021.

Sehingga kini status kemajuan adalah sebanyak 10%.

Manakala kerja-kerja pembinaan Fasa 1 bagi keseluruhan kawasan dijangka siap pada 31 Mei 2022 dan Fasa 2 pula meliputi kawasan seluas 2,028.76 ekar akan bermula pada suku ketiga tahun 2022. – MalaysiaGazette