SEPANGGAR – Seramai 16,877 pengundi mengundi awal di 55 pusat bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-16 pagi ini.
Jumlah itu merangkumi 7,487 anggota tentera dan 9,390 anggota polis di seluruh negeri.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) semalam menerusi kenyataan berkata, proses pengundian menekankan garis panduan pencegahan atau prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
Tinjauan MalaysiaGazette di pusat mengundi di Sekolah Kebangsaan Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bagi Dewan Undangan Negeri DUN Karambunai mendapati kawalan ketat bermula di pintu hadapan.
Para petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bertugas dan memantau pelaksanaan prosedur kawalan penularan Covid-19 di pusat mengundi berkenaan.
Proses pengundian yang bermula jam 8 pagi ini akan berakhir pada 5 petang ini.
SPR akan menyiarkan proses pengundian ini secara langsung menerusi laman Facebook SPR.
Kertas undi awal ini akan disimpan dan hanya akan dikira pada 26 September 2020 bermula jam 4 petang.
SPR sebelum ini menetapkan 12 September lalu sebagai tarikh penamaan calon PRN Sabah Ke-16, diikuti pengundian awal pada 22 September dan pengundian biasa pada 26 September.
PRN Sabah diadakan selepas Datuk Seri Shafie Apdal membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) ekoran krisis politik di negeri itu. – MalaysiaGazette
0 vote for WARISAN