Home Politik Warga Sabah mesti hukum kebiadapan pemimpin Warisan – Kamaruzaman

Warga Sabah mesti hukum kebiadapan pemimpin Warisan – Kamaruzaman

Kamaruzaman Mohamad
Ketua Penerangan Pas Pusat, Kamaruzaman Mohamad

KUALA LUMPUR – Tragedi hitam mengorbankan perajurit negara dalam Ops Daulat semasa diceroboh pengganas Sulu tidak sepatutnya dijadikan bahan jenaka atau modal politik.

Ketua Penerangan Pas Pusat, Kamaruzaman Mohamad berkata, mereka mengorbankan nyawa menyelamatkan negara daripada pencerobohan musuh serta sanggup meninggalkan keluarga dan demi keamanan Malaysia.

“Warga Sabah mesti menghukum kebiadaban kenyataan pemimpin Warisan itu dengan menggunakan kuasa rakyat sebagai pengundi,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Dalam pada itu Kamaruzaman berkata, beberapa insiden yang mencemarkan suasana Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah seperti dakwaan kemasukan besar-besaran warga asing dan tuntutan Filipina terhadap Sabah diharapkan tidak merosakkan proses pengundian nanti.

Ujarnya, Pas menyeru semua pihak bekerjasama dalam memastikan PRN itu dapat berjalan lancar dan telus.

“Pas juga sangat berharap agar pihak kerajaan telah mengambil langkah sewajarnya bagi menghadapi PRN dalam suasana pandemik Covid-19 yang agak serius di Sabah,” tambah beliau. – MalaysiaGazette