BERLIN – Pengkritik Vladimir Vladimirovich Putin, Alexei Navalny telah dibenarkan keluar dari hospital di sini selepas menerima rawatan akibat keracunan agen saraf Novichok.
Hospital Charité memaklumkan rawatan ke atas Navalny akan dihentikan kerana keadaannya bertambah baik.
Navalny menyiarkan gambar beliau berdiri tanpa bantuan dengan mesej yang mengatakan para doktor telah memberi peluang pemulihan sepenuhnya.
Para penyokong ketua pembangkang itu menuduh Navalny diracun atas perintah Putin tetapi dinafikan oleh Kremlin.
Navalny, pembangkang terkemuka Rusia, jatuh ketika dalam penerbangan di Siberia pada 20 Ogos lalu.
Dia kemudian dipindahkan ke hospital Charité di ibu negara Jerman.
Satu kenyataan dari hospital mengatakan Navalny yang berusia 44 tahun telah menghabiskan 32 hari di sana, termasuk 24 hari dalam rawatan intensif.
“Berdasarkan perkembangan dan keadaan semasa pesakit, doktor yang merawat percaya beliau mungkin sudah pulih sepenuhnya.
”Namun, masih terlalu awal untuk mengukur kemungkinan kesan jangka panjang akibat keracunannya yang teruk,” katanya. – MalaysiaGazette