KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim didakwa seolah-olah tidak prihatin dan tidak wajar membuat pengumuman kononnya mempunyai sokongan majoriti Ahli-Ahli Parlimen untuk membentuk kerajaan baharu dalam situasi sekarang.
Sebagai individu yang pernah menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri dan sebagai seseorang yang pernah menjadi anggota kerajaan, Anwar sepatutnya lebih peka dengan keperluan rakyat.
Beliau seharusnya memainkan peranan sebagai ketua pembangkang dalam memulihkan ekonomi negara pasca Covid-19 dan bukannya menyusun langkah bagi membentuk sebuah kerajaan yang baharu.
Setiausaha Agung Kelab Jaringan Naib-Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia (Kagum), Iszuwan Ismail yang terkejut dan kesal dengan kenyataan Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, ini bukan kali pertama Anwar mendakwa mempunyai majoriti yang cukup.
Perkara yang sama juga telah dibuat pasca PRU-2008 dan 2013.
”Rakyat tidak lupa dengan tindakan melobi Ahli Parlimen sehingga ke Taiwan pada tahun 2008.
”Cukuplah, fokuslah kepada membina Malaysia yang lebih teguh dan mainkanlah peranan sebagai pembangkang dengan lebih efektif. Tunggulah PRU yang akan datang dan bertandinglah sampai menang” tambah Iszuwan.
Lagipun, katanya, ketamakan beliau untuk menjadi Perdana Menteri juga telah menjadi salah satu punca tumbangnya Kerajaan Pakatan Harapan pada Mac tempohari.
Kagum, ujarnya, menyambut baik kenyataan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan yang menyatakan UMNO masih lagi bersama mendukung dan dan menyokong Kerajaan Perikatan Nasional.
”Kenyataan ini membuktikan bahawa sebarang perubahan pendirian sokongan mestilah diputuskan oleh parti dan bukan individu,” katanya. – MalaysiaGazette