Home Politik Bukti satu per satu nama Ahli Parlimen yang sokong

Bukti satu per satu nama Ahli Parlimen yang sokong

Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal

PUTRAJAYA – Pendedahan Datuk Seri Anwar Ibrahim kononnya mempunyai sokongan 131 orang Ahli Parlimen untuk membentuk kerajaan hanyalah omongan kosong selagi Presiden PKR itu tidak menunjukkan satu per satu nama dan bilangan Ahli Parlimen yang bersama beliau.

Ketua Armada Bersatu, Senator Wan Ahmad Faysal Wan Ahmad Kamal menyifatkan pengumuman Anwar itu sebagai percaturan politik yang hanya merugikan ekonomi negara.

“Selagi beliau (Anwar Ibrahim) tidak menunjukkan satu per satu nama-nama dan bilangan ahli Parlimen yang dikatakan bersama beliau, selagi itu bagi saya ia hanyalah omongan kosong.

“Tapi kita perlu ingat sebarang perubahan kerajaan yang ada kuasa ketika ini adalah Perdana Menteri (Muhyiddin Yassin) dan mengikut budi bicara Yang di-Pertuan Agong, hanya beliau sahaja boleh usulkan untuk bubar Parlimen.

“Kalau benar PM tidak mempunyai sokongan majoriti, saya rasa buat masa ini apa yang dibangkitkan Anwar adalah hanyalah omongan kosong. Kita tunggu dan lihatlah sama ada apa yang dia cakap itu betul atau tidak,” katanya ketika ditanya mengenai pengumuman Anwar yang mendakwa kerajaan Muhyiddin jatuh tengahari tadi.

Tambah Wan Ahmad Faysal, apa yang dilakukan Pengerusi Pakatan Harapan itu juga adalah gimik untuk memastikan kemenangan PKR di Sabah dan ia buka perkara baharu dalam politik Anwar.

Ujarnya, apa yang berlaku ketika ini bukan mengejutkan tapi sedikit mengecewakan.

Menurut Wan Ahmad lagi, negara sedang bergolak dengan Covid-19 dan ketika Yang di-Pertuan Agong masih menjalani rawatan di Institut Jantung Negara, Anwar tidak sepatutnya membuat pengumuman mengejut sebegini kerana ia mengakibatkan pasaran saham tidak stabil.

“Tindakan Anwar adalah sesuatu tidak wajar sebagai seorang negarawan yang ingin menjadi perdana menteri kerana dia sepatutnya lebih bersabar sekurang-kurangnya selepas Pilihan Raya Negeri Sabah ataupun selepas Agong beransur pulih.

“Sebagai wakil anak muda saya menyelar tindakan Anwar sebagai tidak berhati perut dalam mengambil kira kira situasi semasa yang mana semua rakyat bergelut dengan Covid-19 dan isu ekonomi beliau bermain percaturan politik yang boleh rugikan negara.

“Jika benar kita perlu membubarkan Parlimen dan kerajaan yang ada, Armada Bersatu sentiasa bersedia berepan PRU bersama rakan-rakan sekutu kita dalam Perikatan Nasional,” tegasnya lagi.-MalaysiaGazette