KUALA LUMPUR- Gabungan Parti Sarawak (GPS) menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi kepada kerajaan Perikatan Nasional di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Setiausaha Agung GPS, Datuk Alexander Nanta Linggi berkata, gabungan itu juga tidak mempunyai kaitan dengan PKR yang diketuai oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Tegasnya, Presiden PKR itu sepatutnya berhenti daripada mewujudkan ketidakstabilan kepada negara demi mencapai kepentingan dan cita-cita peribadi.
“Kepentingan rakyat dan negara pada ketika kita sedang menghadapi cabaran penularan wabak Covid-19 yang telah meragut ribuan nyawa di seluruh dunia, perlu diberi keutamaan.
“GPS sekali lagi menegaskan bahawa parti ini menolak sekerasnya PKR yang bersekutu dengan pihak tidak bertanggungjawab dan angkuh melemparkan tuduhan bahawa Negeri Sarawak akan bankrap di bawah kepimpinan GPS,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Parti GPS yang dianggotai oleh Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif Sarawak (PDP) tambah Alexander, kekal berpegang teguh kepada prinsip perlunya sebuah kerajaan Persekutuan yang stabil demi kebaikan rakyat dan ekonomi negara.
Tambahan pula ketika negara sedang berperang dengan penularan wabak Covid-19 dan fokus sepenuhnya ditumpukan dalam memulihkan ekonomi rakyat dan negara.
Katanya lagi, Sarawak, yang diterajui oleh Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg sebagai Ketua Menteri akan terus memberi sokongan penuh kepada Muhyiddin kerana yakin dapat membawa banyak kebaikan kepada kerajaan Persekutuan dan negeri.- MalaysiaGazette