Home Ekonomi Indeks Pelopor berkembang 7.7% pada bulan Julai 2020

Indeks Pelopor berkembang 7.7% pada bulan Julai 2020

KUALA LUMPUR – Indeks Pelopor (IP) yang mengukur hala tuju ekonomi ke hadapan menunjukkan peningkatan tahunan selama tiga bulan berturut-turut. IP berkembang 7.7 peratus kepada 109.2 mata pada Julai 2020 daripada 101.4 mata pada Julai 2019.

Berdasarkan bulan ke bulan, IP meningkat 4.4 peratus. positif terbesar disumbangkan oleh Indeks Perusahaan Bursa Malaysia (1.8%).

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata berkata, IP menunjukkan lonjakan ketara yang menggambarkan pemulihan ekonomi dalam masa terdekat dan menjangkakan prospek ekonomi yang lebih baik menjelang 2021.

Walau bagaimanapun, isyarat perlu ditafsir dengan berhati-hati kerana wabak masih kekal di Malaysia dan di peringkat global.

Indeks Serentak (IS) yang mencerminkan keadaan ekonomi semasa, menunjukkan pertumbuhan tahun ke tahun yang lebih baik dengan mencatatkan negatif 2.4 peratus berbanding negatif 3.1 peratus yang dicatatkan pada Jun 2020.

Trend IS secara beransur-ansur meningkat sejak Mei 2020.

Sementara itu, perubahan bulanan IS meningkat 1.3 peratus disokong terutamanya oleh Indeks Kuantiti Perdagangan Runcit (1.1%).

”Peningkatan IS selari dengan petunjuk ekonomi lain seperti borong dan runcit, pembuatan dan sektor luaran. Indeks Volum Perdagangan Borong &
Runcit mula menunjukkan tanda pemulihan. Indeks mencatatkan 127.7 mata, merekodkan pertumbuhan tahunan yang lebih baik iaitu negatif 3.9 peratus.

”Sementara itu, Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) melonjak 1.2 peratus pada Julai 2020, menunjukkan pertumbuhan positif untuk kali pertama sejak Februari 2020,” katanya.

Peningkatan IPP pada Julai 2020 disebabkan oleh kenaikan 2.9 peratus dalam Indeks Pembuatan, pada masa yang sama, eksport terus mencatat pertumbuhan positif pada Julai 2020, berkembang 3.1 peratus tahun ke tahun kepada RM92.5 bilion – nilai tertinggi sejak November 2018. – MalaysiaGazette