PUTRAJAYA- Kerajaan menggalakkan pengelola umrah untuk mendalami ilmu pengurusan kewangan bagi mengelakkan mereka tersepit ketika berlakunya masalah teknikal ketika mengendalikan umrah dan menyebabkan jemaah yang dibawa terkandas.
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, kebanyakan kes jemaah umrah terkandas disebabkan pengelola atau ejen yang tidak mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh serta tidak celik ilmu pengurusan kewangan.
Tambahnya, kerajaan tidak mewajibkan celik kewangan dan pengurusan sebagai syarat wajib kepada pengendali umrah namun begitu mereka sangat digalakkan untuk menguasai ilmu-ilmu tersebut.
“Apabila berlaku masalah jemaah umrah ditipu atau terkandas, saya boleh simpulkan isu ini kepada dua kategori iaitu pertama, syarikat yang mengelolakan urusan jemaah tersebut memang penipu dan yang kedua adalah syarikat yang dikendalikan oleh orang baik-baik dan tidak berniat untuk menipu jemaah sebaliknya mereka menghadapi masalah teknikal sehingga menyebabkan banyak urusan tertangguh.
“Duit pelanggan telah diambil tetapi berlaku masalah teknikal contohnya tempahan hotel dibatalkan atau telah hangus, dalam masa yang sama gaji pekerja perlu dibayar dan disebabkan mereka tidak mempunyai kewangan yang kukuh, maka terjadilah kes-kes jemaah terkandas dan sebagainya.
“Kebanyakan kes jemaah terkandas di negara ini adalah datang daripada kategori kedua,” katanya semasa menyampaikan ucapan perasmian Seminar Penipuan Umrah Bersama Pengelola Umrah 2020 di sini hari ini.
Tambah Zulkifli, beliau sangat berharap supaya pengendali-pengendali umrah di Malaysia mempunyai tahap urus tadbir yang baik serta kedudukan kewangan yang kukuh bagi menghadapi sebarang kemungkinan.
Ini sekali gus mengelakkan mereka terpaksa menggunakan duit pelanggan sebagai modal pusingan atau kegunaan lain.
“Saya harap mereka ini adalah syarikat-syarikat yang masih mampu beroperasi meskipun empat atau lima bulan tidak mempunyai pekerjaan kerana mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh.
“Ada syarikat-syarikat pengendali umrah yang mempunyai kewangan yang kukuh tetapi banyak yang tidak.
“Mereka ini ada yang membawa hanya 30 jemaah atau 300 jemaah sahaja. Sudah pastilah mekanisme dan kemampuan kewangan mereka berbeza dengan syarikat yang mampu membawa 1,000 jemaah.
“Namun begitu, kami sangat berharap mereka tetap menguasai ilmu pengurusan kewangan dengan baik,” katanya lagi.
Untuk rekod, dari 2012-2018 sebanyak 3,883 kes membabitkan pelanggaran perjanjian pakej umrah melibatkan jumlah tuntutan sebanyak RM24.114 juta dengan jumlah anugerah sebanyak RM10.38 juta. – MalaysiaGazette