Home Pendapat Panggilan pilihan raya adalah langkah terakhir

Panggilan pilihan raya adalah langkah terakhir

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bercakap pada sidang media khas di Hotel Le Meridien, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 23 SEPTEMBER 2020

SEBARANG panggilan untuk melakukan proses pilihanraya
awal dalam negara kita sama ada pilihanraya diperingkat
persekutuan ataupun peringkat negeri perlu dilakukan
sebagai langkah terakhir sekiranya tiada pilihan lain untuk
dilakukan demi kestabilan politik dan sistem pentadbiran
negara kita. Ianya boleh dilakukan sekiranya negara secara
keseluruhannya ataupun sesebuah negeri masih tidak memiliki sebuah kerajaan stabil mengikut Perlembagaan Persekutuan di peringkat pusat dan perlembagaan negeri-negeri diperingkat negeri.

Umum telah pun ketahui kemelut politik yang sedang dialami
negara kita pada ketika ini dengan perubahan pucuk pimpinan negara di peringkat persekutuan beberapa bulan yang lalu. Ini ditambah lagi dengan pengumuman yang dibuat oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim sebentar tadi bahawa beliau memiliki cukup sokongan untuk membentuk kerajaan baru bagi mengantikan kerajaan sedia dibawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yasin. Terdapat banyak cadangan telah dikemukakan oleh pelbagai pihak bagi menghentikan kemelut politik yang sedang berlaku dalam negara kita sama ada diperingkat persekutuan ataupun di peringkat negeri, antara cadangan yang telah dikemukakan ialah dengan membentuk sebuah kerajaan minoriti, membentuk sebuah kerajaan perpaduan, serta membubarkan terus Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi memberi jalan
kepada proses pilihanraya umum awal untuk dilakukan.

Langkah untuk membubarkan Parlimen atau Dewan
Undangan Negeri (DUN) bagi memberi jalan kepada proses
pilihanraya awal perlu dilihat sebagai langkah terakhir oleh
semua pihak kerana implikasi besar yang boleh diberikan
melaluinya kepada rakyat, ekonomi serta keadaan semasa
yang sedang berlaku dalam negara kita pada ketika ini. Di Malaysia, proses pembubaran Parlimen hanya melibatkan
Dewan Rakyat dan tidak bagi Dewan Negara. Dewan Rakyat ini dibubarkan setelah mendapat perkenan oleh KDYMM Yang di-Pertuan Agong dan selalunya dibuat atas nasihat Perdana Menteri. Tempoh maksimum bagi sebuah penggal Dewan Rakyat di Parlimen Malaysia serta Dewan Undangan Negeri (DUN) ialah 5 tahun. Ini membawa maksud bahawa genap 5 tahun tarikh pertama persidangan diadakan selepas pilihan raya umum yang lepas, parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) akan terbubar dengan sendirinya. Namun pilihanraya awal boleh dipanggil sebelum tamatnya tempoh 5 tahun berkenaan. Ini jelas termaktub di bawah Perkara 55 (2), (3), dan (4) Perlembagaan
Persekutuan. Proses yang sama juga untuk peringkat negeri- negeri, yang mana semuanya bergantung pada budi bicara
serta perkenan daripada ketua negeri masing-masing iaitu
DYMM Sultan, DYMM Raja, ataupun TYT Yang di-Pertua
Negeri seperti yang telah ditetapkan oleh perlembagaan
negeri.

Persoalannya kini, apa kebaikan dan keburukan sekiranya
kita mengembalikan mandat kepada rakyat serta melaksanakan proses pilihan raya awal sama ada diperingkat persekutuan ataupun di peringkat negeri-negeri. Untuk rekod, kita baru selesai menjalani proses pilihan raya umum pada bulan Mei 2018 yang lalu. Mengikut perlembagaan, kita masih memiliki tempoh lebih tiga tahun sebelum tarikh pilihanraya umum baru diadakan dalam
negara kita. Sama ada dengan adakan proses pilihanraya ini
membawa kebaikan ataupun keburukan kepada kita semuanya bergantung pada keadaan semasa yang berlaku dalam negara kita. Sekiranya kemelut politik yang sedang berlaku dalam negara kita ini sama ada di peringkat  persekutuan atau pun di peringkat negeri masih berpanjangan berlaku, kita tidak memiliki pilihan lain selain daripada mengadakan proses pilihan raya awal bagi memberi ruang dan peluang kepada rakyat untuk menentukan kerajaan baru bagi mentadbir negara ataupun mana-mana negeri yang terlibat.

Perlu diingati, proses pilihan raya ini adalah satu perkara
yang serius bukan satu perkara main-main kerana ia melibatkan banyak perkara. Pilihanraya bukan hanya sekadar membuang undi ke dalam kotak undi seperti yang dilakukan oleh para pengundi. Peruntukkan wang yang besar perlu dibelanjakan bagi menjalani proses pilihan raya. Proses pilihan raya ini juga menuntut setiap rakyat yang layak untuk mengundi untuk meluangkan masa berharga mereka dan tenaga mereka untuk pergi mengundi. Keputusan yang diperolehi setelah selesai pengiraan mengundi juga boleh terdedah kepada risiko ketidakpuasan hati oleh mana-mana pihak terutamanya oleh pihak yang kalah sehingga boleh diheret ke dalam mahkamah selama bertahun-tahun. Proses panggilan pilihan raya awal ini juga boleh menghantar satu isyarat yang salah kepada ramai
pihak khususnya pihak luar negara yang negara kita kini berada dalam keadaan tidak stabil sekaligus menjejaskan kemasukan pelaburan ke dalam negara kita dan mengugat keadaan ekonomi kita. Pada masa yang sama juga, proses pilihan raya yang dibuat ini boleh menjejaskan fokus kita semua untuk membendung penularan penyakit berjangkit berbahaya Novel Koronavirus atau Covid-19 serta membantutkan usaha kita bagi memperbaiki keadaan ekonomi negara kita pada ketika ini yang sedang menghadapi impak teruk akibat daripada penularan Covid-19. Oleh yang demikian, semua pihak yang terlibat harus memikirkan dengan mendalam segala kesan akibat daripada panggilan pilihan raya awal ini khususnya terhadap rakyat, ekonomi dan negara kita.

Penulis adalah Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah & Undang-Undang (FSU), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

1 Komen

Comments are closed.