KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa, rakyat negara ini berhak mendapatkan sebuah kerajaan kukuh dengan kepemimpinan yang cekap dan yakin untuk mengurus krisis ekonomi dengan bijaksana dan tuntas.
Oleh itu, kata Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu, menjadi tanggungjawab partinya untuk menyelamatkan negara dari menghadapi kemelesetan ekonomi yang dibimbangi boleh menimbulkan ketegangan hubungan kaum.
“Alhamdulillah, kini saya telah mendapat sokongan yang kukuh dan menyakinkan daripada Ahli-Ahli Parlimen untuk saya persembahkan kepada Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong.
“Ingin saya nyatakan di sini, majoriti yang menyokong saya ialah Ahli Parlimen Melayu dan Islam.
“Sebenarnya saya telah diperkenankan untuk mengadap Seri Paduka Baginda kelmarin, Selasa 21 September jam 11 pagi, tetapi terpaksa ditangguhkan kerana baginda kini menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN),” katanya pada sidang media khas di sebuah hotel di sini, hari ini.
Bagaimanapun, menurut Anwar, melalui perbualan telefon dengan baginda malam tadi, beliau telah mendoakan kesihatan yang baik kepada baginda.
Katanya, dengan sokongan dan majoriti kukuh dan meyakinkan bermakna kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin telah jatuh.
“Maklumat dan langkah selanjutnya akan saya maklumkan selepas mengadap baginda Yang di-Pertuan Agong dalam masa yang terdekat.
“Pentadbiran ini pastinya mewakili semua rakyat, dengan majoriti Melayu-Bumiputra dan perwakilan saksama semua kaum di negara ini.
“Kami tetap menjunjung prinsip perlembagaan yang mengiktirafkan kedudukan Islam, kedaulatan Raja-raja Melayu, memartabatkan kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi serta kedudukan istimewa Melayu-Bumiputera, di samping jaminan tegas mempertahankan hak warga pelbagai kaum lain,” katanya.
Katanya, beliau memohon rakyat supaya bersabar dan mendoakan kesembuhan segera Tuanku Yang di-Pertuan Agong.
“Saya berjanji akan membentuk sebuah kerajaan dengan tatakelola berintegriti dan komited untuk menangani krisis yang melanda negara; menghentikan amalan rasuah dan membela nasib rakyat.
“Saya akan tunaikan janji saya untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang makmur, aman dan adil untuk seluruh rakyatnya,” katanya. – MalaysiaGazette