Home Utama Samun emas: Beberapa kes guna modus operandi sama – Saiful Azly

Samun emas: Beberapa kes guna modus operandi sama – Saiful Azly

Datuk Saiful Azly Kamaruddin

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak menolak kemungkinan penglibatan kumpulan penyamun bersenjata parang yang sama dalam kejadian rompak di Lebuhraya Besraya semalam dengan beberapa kejadian rompakan yang berlaku di Ipoh dan Pulau Pinang.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Komisioner Datuk Saiful Azly Kamaruddin berkata, siasatan polis mendapati terdapat beberapa insiden rompakan beberapa tahun lalu mempunyai persamaan menggunakan modus operandi yang sama.

“Polis kini sedang melihat sama ada mereka yang terlibat dalam rompakan ini adalah orang yang sama atau orang lain.

“Ini kerana kita ada kesan beberapa kes rompak menggunakan modus operandi sama di negeri-negeri lain seperti di Ipoh dan Pulau Pinang beberapa tahun dulu,” kata beliau pada sidang media selepas majlis pelupusan barang kes dadah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur pagi ini.

Mengulas tindakan pengedar barang kemas yang membawa barangan berharga dengan kenderaan secara sendiri, Saiful Azly berkata, polis sudah dan pernah menasihati para pemilik kedai emas dan pengurup wang berlesen serta semua pemain industri seumpamanya supaya menggunakan khidmat pengawal keselamatan bagi mengelak insiden tidak diingini.

Pun begitu katanya, pihaknya tidak boleh menuding jari atau menyalahkan mana-mana pihak dalam soal keselamatan sekiranya pemilik sendiri tidak mempunyai sebarang pendirian berkaitan keselamatan.

“Mungkin pemilik sudah biasa berurusan dengan lebih kerap tanpa menggunakan khidmat pengawal keselamatan.

“Polis sudah menasihati mereka dan mengadakan perbincangan, biasanya Ketua Polis Daerah akan menasihati mereka, terpulang kepada mereka,”katanya.

Dalam kejadian 21 September lalu sekitar jam 3.35 petang di Lebuhraya Besraya itu, seorang jurujual sebuah syarikat pengedar emas dan rakannya cedera akibat terkena serpihan cermin kenderaan Hilux mereka yang dipecahkan tiga lelaki berbadan besar dengan skin mask serta bersenjatakan parang melarikan barang kemas bernilai RM 3 juta dan wang tunai RM67,000.

Kenderaan mangsa yang dilarikan itu ditemui dalam keadaan rentung di Sri Damansara, Petaling Jaya.

Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Zairulnizam Zainuddin @Hilmi berkata, kejadian kedua-dua mangsa sedang dalam perjalanan dari Kuchai Lama menghala ke Sungai Besi sebelum dihalang dua pacuan empat roda dinaiki ketiga-tiga suspek bersenjatakan parang itu.

Siasatan polis mendedahkan kendaraan dinaiki penyamun adalah kenderaan klon atau palsu selepas disemak dengan pemilik asal kenderaan itu.

Setakat semalam lapan saksi kejadian dirakam keterangan membantu siasatan termasuk seorang pemandu e-hailing yang didapati merakam insiden dan menularkannya dalam media sosial. – MalaysiaGazette