Home Dunia Askar Pyongyang bunuh, bakar pegawai Korea Selatan

Askar Pyongyang bunuh, bakar pegawai Korea Selatan

Pulau Yeonpyeong yang menjadi sempadan Korea Utara dan Korea Selatan. foto Agensi

SEOUL – Seorang pegawai Korea Selatan ditembak mati dan mayatnya dibakar oleh askar Pyongyang, kata Kementerian Pertahanan Seoul.

Seoul mendakwa lelaki itu hilang dari sebuah kapal peronda berhampiran sempadan dan kemudian ditemui di perairan Korea Utara.

”Tentera Korea Utara menembaknya, kemudian menuangkan minyak ke atas badannya lalu membakarnya, kata kementerian itu.

Kesimpulan berhubung kematian lelaki itu berdasarkan ‘perisikan pelbagai’.

Korea Utara telah memperketat sempadannya dan dipercayai melaksanakan kaedah ‘tembak hingga mati’ bagi mencegah penularan koronavirus dari merebak ke negara itu.

Setakat ini Pyongyang belum mengeluarkan sebarang kenyataan.

Kementerian itu berkata, pegawai berkenaan bertugas di jabatan perikanan, berada dalam bot kawalan kira-kira 10 kilometer dari sempadan Korea Utara, berhampiran Pulau Yeonpyeong ketika dia hilang pada hari Isnin.

Lelaki berusia 47 tahun memiliki dua anak itu didapati telah meninggalkan kasutnya di belakang bot – dia percayai cuba membelot.

Sebuah kapal peronda Korea Utara telah menemui lelaki itu, yang memakai jaket keselamatan di laut sekitar jam 3.30 waktu tempatan pada hari Selasa, tambah Seoul.

Lalu mereka menyoal lelaki itu datang dari mana sebelum mendapat “perintah dari pihak atasan agar lelaki itu dibunuh.

Dia ditembak mati di dalam air.

Pasukan Korea Utara kemudian membakar mayat tersebut ketika di laut, kata Kementerian Pertahanan Korea Selatan, sambil menambah bahawa mereka percaya ini mungkin merupakan tindakan anti-koronavirus.

Namun Seoul mengutuk sekeras-kerasnya tindakan ganas dan menggesa Korea Utara segera menjelas dan menghukum pihak yang bertanggungjawab. – MalaysiaGazette