Home Nasional Dadah: 11 termasuk dua pelajar sekolah ditahan

Dadah: 11 termasuk dua pelajar sekolah ditahan

Gambar hiasan

SUNGAI PETANI – Dua pelajar sekolah masing-masing berumur 13 tahun adalah antara 11 individu yang ditahan dalam serbuan polis ke atas sebuah gudang yang disyaki terbabit dengan kegiatan mengedar dadah dekat Sungai Lalang di sini, Selasa lepas.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, ACP Adzly Abu Shah berkata seorang remaja lelaki dan seorang remaja perempuan itu ditahan bersama sembilan individu lain, termasuk seorang lelaki berumur 38 tahun dipercayai ketua sindiket pengedaran dadah itu, yang juga anggota kumpulan kongsi gelap ‘Geng 35’.

Beliau berkata serbuan dilakukan pada kira-kira pukul 8.45 malam oleh sepasukan anggota dari bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda hasil risikan ke atas sebuah gudang.

“Berdasarkan maklumat yang diperoleh, kegiatan mengedar dadah itu berselindung di sebalik gudang penyimpanan barangan berkenaan sejak dua tahun lepas,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Katanya hasil pemeriksaan di dalam gudang berkenaan, polis menemui beberapa bungkusan dadah jenis heroin di dalam sebuah kereta seberat 2.7 kilogram yang dianggar bernilai lebih RM136,000, dan polis turut merampas dua bentuk cincin emas, seutas rantai, sebuah kereta dan wang tunai RM2,100 dalam serbuan itu.

“Kita percaya kesemua dadah itu akan diedarkan di sekitar Sungai Lalang dan Gurun, dan mereka menjadikan gudang berkenaan sebagai tempat operasi bagi mengaburi mata pihak berkuasa,” katanya.

Menurutnya, kesemua suspek yang berusia antara 13 dan 57 tahun direman selama tujuh hari bermula semalam untuk siasatan mengikut Seksyen 39B, Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sementara itu Adzly berkata, pihaknya juga berjaya melumpuhkan kegiatan satu kumpulan curi motosikal yang aktif melakukan jenayah itu di kawasan Tikam Batu, di sini selepas menahan empat lelaki berumur antara 22 dan 39 tahun pada 12 Sept lepas.

“Dengan penahanan suspek, kita juga menemui semula empat rangka motosikal yang dibuang ke dalam Sungai Muda sejak 2018,” katanya.

Katanya modus operandi kumpulan itu adalah menggunakan ‘master key’ bagi mencuri motosikal dan mengambil komponen tertentu untuk dijual sebelum membuang rangka kenderaan itu ke dalam sungai.

“Ujian air kencing mendapati kesemua mereka positif dadah jenis methamphetamine dan kesemua mereka disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan Seksyen 15(1), Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

— BERNAMA