Home Akhbar Cina Musim peralihan monsun belum bermula

Musim peralihan monsun belum bermula

Foto hiasan

KUALA LUMPUR – Tiupan angin monsun Barat Daya yang lebih lemah pada tahun ini menyebabkan peningkatan taburan hujan di negara ini.

Ketua Pengarah Meteorologi, Jailan Simon berkata, Malaysia biasanya mengalami cuaca kering pada musim angin monsun Barat Daya disebabkan arah tiupan angin tersebut.

“Disebabkan angin monsun ini sangat lemah pada tahun ini, ia juga menyebabkan arah tiupan angin kurang stabil dan seterusnya mendorong lebih banyak awan berkumpul di Malaysia.

“Keadaan ini yang menyebabkan cuaca Malaysia lebih lembab,” katanya kepada Oriental Daily.

Menurutnya, hujan yang lebih banyak tidak bermakna bahawa Malaysia sudah mengalami musim peralihan angin monsun.

“Kami berada pada peringkat akhir musim angin monsun Barat Daya dan musim peralihan dijangka bermula akhir September atau awal Oktober.

“Musim peralihan dijangka berakhir pada minggu pertama atau minggu kedua November.

“Semasa musim peralihan angin monsun, Pantai Barat dan pedalaman di Semenanjung, Pantai Barat Sabah serta Barat dan bahagian tengah Sarawak akan mengalami ribut petir dan angin kencang pada waktu senja,” katanya.

Walau bagaimanapun, Jailan menganggarkan cuaca Oktober yang lebih kering berbanding tahun lalu.

Mengenai taburan hujan pula, Jailan berkata, Kapit di Sarawak menjadi kawasan paling basah setakat 16 September dengan 552.8 mm hujan dicatatkan.

“Perak, Selangor dan Kuala Lumpur di Semenanjung; Kudat, Pantai Barat dan pedalaman di Sabah serta Miri dan Limbang di Sarawak juga mencatatkan lebih 300 mm hujan secara purata pada September,” katanya. – MalaysiaGazette