Home Sukan PDRM FA dalam proses akhir penswastaan – Dzulkifly

PDRM FA dalam proses akhir penswastaan – Dzulkifly

Ketua JSPT Kuala Lumpur merangkap Setiausaha Persatuan Bolasepak PDRM, Asisten Komisioner Zulkefly Yahyabercakap pada Majlis Menandatangani Penajaan Syarikat Telco RedONE kepada Persatuan Bola Sepak Polis Diraja Malaysia (PDRM FA) di Bilik Mesyuarat Utama, Pusat Latihan Polis PULAPOL, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 23 JANUARI 2020

KUALA LUMPUR – Pasukan Persatuan Bola Sepak Polis Diraja Malaysia (PDRM FA) kini berada dalam peringkat akhir penswastaan seperti disyaratkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Setiausaha Agung PDRM FA, Asisten Komisioner Dzulkifly Yahya berkata, pihaknya kini sedang melengkapkan proses penswastaan pasukannya untuk terus kekal relevan dalam kancah Liga Malaysia.

Beliau juga mengesahkan telah menerima surat peringatan pengurusan tertinggi FAM yang menggesa menyegerakan penghantaran dokumen penswastaan sebeum tarikh akhir yang ditetapkan iaitu 30 September ini.

“Ya, kami sebenarnya sudah lama menerima surat peringatan itu seperti yang dinyatakan FAM dalam kenyataan semalam.

“Kami sedang terlibat dalam proses itu, kini kerja-kerja pengswastaan berada pada peringkat akhir. Tinggal sikit lagi kertas kerja dan dokumentasi yang perlu dilengkapkan.

“Kemudian kita akan kemukakan kepada FAM nanti (Wisma Kelana Jaya). Kita tidak ada masalah untuk menyelesaikannya sebab ada tempoh seminggu lagi, kami sempat,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Komen beliau menyusul selepas FAM dalam kenyataan media semalam mendedahkan PDRM FA antara tiga lagi pasukan yang belum menyelesaikan proses penswastaan FC.

Dua lagi pasukan yang disenaraikan adalah UiTM FC dan UKM FC dan surat peringatan dihantar kepada mereka kerana mereka kini di peringkat awal proses pengswastaan pasukan.

Pengerusi Jawatankuasa Khas Bola Sepak Profesional FAM, Mohd Firdaus Mohamed berkata, Selangor, Kelantan dan Felda United FC berada  peringkat akhir penswastaan manakala Pahang, Pulau Pinang dan Kedah dalam proses pertengahan.

Kata Firdaus, mana-mana pasukan yang gagal berbuat demikian, mereka tidak akan diterima untuk menyertai pertandingan kelab di peringkat Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) jika layak, serta pertandingan domestik iaitu CIMB Liga Super dan Liga Premier musim 2021.

Diminta mengulas mengenai perkara itu, Dzulkifly berkata, pihak pengurusan PDRM yakin boleh melengkapkan penswastaan sebelum tarikh akhir yang ditetapkan.

Namun beliau tidak mengulas lanjut mengenainya.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Penswastaan: PDRM, UiTM FC dan UKM FC diberi surat peringatan