PETALING JAYA – Polis memburu seorang pemandu kereta yang memandu dalam keadaan berbahaya dan melanggar seorang penghantar Grab Food sebelum melarikan diri tanpa menghentikan kenderaannya.
Ketua polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, kejadian berlaku pada hari Selasa lalu sekitar jam 12.34 pagi di Jalan Lapangan Terbang Subang menghala ke Sungai Buloh.
Ketika kejadian, mangsa dipercayai sedang dalam perjalanan mahu menghantar makanan.
Mangsa, seorang warga tempatan yang berusia 23 tahun telah membuat laporan mengenai kejadian tersebut.
”Video yang tular di media sosial yang memaparkan satu kejadian kemalangan langgar lari melibatkan motosikal dan sebuah kereta yang tidak dapat dipastikan model dan identiti suspek di Jalan Lapangan Terbang Subang menghala ke Sungai Buloh.
“Berdasarkan video tersebut, kemalangan berpunca akibat kereta tersebut mengubah laluan dari lorong kanan ke kiri secara tiba tiba tanpa memberi isyarat lalu melanggar belakang motosikal penghantar makanan e-hailing tersebut yang berada di lorong kiri.
“Pemandu tersebut terus meninggalkan lokasi kejadian dan mangsa mengalami kecederaan ringan di tangan, kaki, peha dan betis,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Motosikal mangsa pula mengalami kerosakan di beberapa bahagian.
Nik Ezanee berkata, kes itu disiasat di bawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes ini diminta untuk menghubungi balai polis berdekatan atau terus berhubung pegawai trafik Sarjan Saidatul Asma Ariffin di talian 018-9765949 atau 03-79662222,” tegasnya.