WASHINGTON – Amerika Syarikat (AS) menyenaraihitam beberapa pegawai dan entiti Iran atas tuduhan pelanggaran berat hak asasi manusia, termasuk mengenakan sekatan terhadap seorang hakim yang dikatakan terlibat dalam kes ahli gusti Iran yang dijatuhkan hukuman mati.
Setiausaha Negara Mike Pompeo dalam satu kenyataan memaklumkan, AS menjatuhkan sekatan terhadap Hakim Seyyed Mahmoud Sadati, Hakim Mohammad Soltani, dari mahkamah di Shiraz, dan Penjara Adel Abad, Orumiyeh, dan Vakilabad.
Wakil Khas AS untuk Iran dan Venezuela, Elliott Abrams mengatakan sekatan itu mensasarkan hakim yang menjatuhkan hukuman mati ke atas ahli gusti Iran, Navid Afkari.
Pompeo mengatakan Sadati terlibat dalam salah satu perbicaraan membabitkan Afkari.
AS komited untuk memegang akauntabiliti pada mereka yang menafikan kebebasan dan keadilan kepada rakyat Iran.
“Susulan itu, AS akan mengumumkan sekatan terhadap beberapa pegawai dan entiti Iran termasuk hakim yang menjatuhkan hukuman mati terhadap Navid Afkari,” kata Abrams dalam sidang di Jawatankuasa Perhubungan Luar Negeri Senat.
Ahli gusti itu dihukum bunuh pada awal bulan ini setelah disabitkan dengan kesalahan menikam pengawal keselamatan semasa tunjuk perasaan antikerajaan pada tahun 2018, lapor media negara Iran.
Juga disenarai hitam oleh AS adalah penjara Adel Abad, yang mana Pompeo mengatakan ahli gusti itu dilapor diseksa oleh pegawai Iran dan penjara Vakilabad, tempat warga AS, Michael White, ditahan.
Pompeo juga mendakwa Iran melakukan penahanan yang salah terhadap tiga warga Amerika iaitu Baquer, Siamak Namazi dan Morad Tahbaz, sambil menambahkan negara ini akan melakukan segala usaha untuk membawa mereka pulang.
Awal minggu ini, Washington mengenakan sekatan baharu ke atas Kementerian Pertahanan Iran dan pihak lain yang terlibat dalam program nuklear dan senjatanya untuk menyokong penyataannya bahawa semua sekatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu terhadap Teheran kini dilaksanakan semula.
Ketegangan antara Washington dan Teheran telah meningkat sejak Presiden Donald Trump secara sepihak menarik diri pada 2018 daripada perjanjian nuklear Iran yang dicapai oleh Baracak Obama dan mula mengenakan sekatan yang telah ditarik balik berdasarkan perjanjian tersebut. – MalaysiaGazette