
BELGIUM – Penyerang KV Kortrijk, Terem Moffi semakin hampir untuk melengkapkan perpindahan ke kelab Ligue 1 Perancis, FC Lorient dengan yuran perpindahan berjumlah €8 juta atau RM38.6 Juta.
Yuran perpindahan Moffi ini menjadi antara transaksi terbesar Kortrijk daripada segi penjualan pemain apabila pasukan itu buat pertama kali menjual pemain dengan memperoleh pendapatan melebihi €3 Juta.
Rekod transaksi tertinggi sebelumnya dipegang oleh Youcef Atal yang berhijrah ke OGC Nice pada 2018 dengan yuran perpindahan sebanyak €3 Juta atau RM14.5 Juta.
Sementara itu, kelab terdahulu Moffi sebelum berhijrah ke Kortrijk, FK Riteriai turut mendapat sebahagian daripada yuran perpindahan yang dibayar oleh Lorient yang dianggarkan berjumlah €1 Juta atau RM4.8 Juta.
Kortrijk sebelum ini menolak tawaran sebesar €5 Juta dari Lorient kerana merasakan harga tersebut sedikit rendah dibandingkan dengan kualiti yang dimiliki oleh pemain berusia 21 tahun itu.
Lorient kemudiannya membuat bidaan akhir berjumlah €8 Juta dan nilai tersebut dianggap cukup untuk Kortrijk melepaskan Moffi ke kelab Perancis itu.
Penghijrahan Moffi ke FC Lorient dilihat sebagai satu rahmat buat penyerang skuad B-19 tahun negara, Luqman Hakim apabila dia kini mempunyai peluang cerah untuk beraksi bersama skuad senior KV Kortrijk. – MalaysiaGazette