Home Nasional Sah 32 virus Covid-19 di Kedah, Sabah ada mutasi D614G

Sah 32 virus Covid-19 di Kedah, Sabah ada mutasi D614G

Prevalens A701V dalam kalangan kes gelombang ketiga ialah 86 peratus manakala D614G ialah 100 peratus.- Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Ujian penjujukan genom ke atas 32 virus Covid-19 di Sabah dan Kedah mendapati kesemuanya adalah mutasi jenis D614G.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, ini bermakna masyarakat perlu lebih berwaspada kerana virus Covid-19 dengan mutasi D614G lebih mudah merebak dan menjangkiti individu lain.

Kajian penjujukan genom tersebut telah dilakukan oleh Institut Penyelidikan Perubatan (IMR).

Jelasnya, IMR telah menjalankan ujian penjujukan genom kepada 23 virus daripada Kluster Benteng; empat daripada Kluster PUI Sivagangga; tiga virus daripada Kluster Tawar; satu virus daripada Kluster Sungai; dan satu virus daripada Kluster Bukit Tiram.

Tambah beliau lagi, kajian susulan juga dijalankan bagi mengkaji kaitan genetik antara virus-virus yang diasingkan itu dan membandingkan dengan virus yang dikesan sebelum ini pada Kluster PUI Sivagangga dan Kluster Tawar.

“Seperti disyaki juga, kesemua virus yang diasingkan bagi kluster-kluster di Kedah (Kluster PUI Sivagangga, Kluster Tawar dan Kluster Sungai) adalah saling berkait dan besar kemungkinan adalah berasal dari sumber virus yang sama.

“Ujian-ujian ini adalah ujian awal dan terdapat beberapa ujian susulan sedang dijalankan bagi menguji lanjut kebarangkalian dan semakan dengan kumpulan keluarga virus Covid-19 (Phylogenetic tree).

“Pun begitu, ini bermakna masyarakat perlu lebih berwaspada dan lebih berhati-hati. Ini kerana virus Covid-19 dengan mutasi D614G ini didapati lebih mudah menjangkiti individu lain dan mudah merebak,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Beliau dengan itu sekali lagi merayu orang ramai untuk terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan bagi memutuskan rantaian virus Covid-19.- MalaysiaGazette