KOTA KINABALU – Sebanyak 2,540 saluran di 741 pusat mengundi dibuka di semua 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 7.30 pagi ini bagi membolehkan rakyat Sabah memilih kerajaan baharu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16.
Proses pengundian yang melibatkan 1,088,711 daripada 1,103,646 pengundi biasa, akan dikendalikan 17,257 petugas pilihan raya sehingga waktu mengundi tamat pada 5 petang.
Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia, cuaca pada sebelah pagi diramal hujan di satu dua tempat di bahagian Pantai Barat, Kudat, pedalaman dan Sandakan manakala ribut petir di satu dua tempat di bahagian Pantai Barat, pedalaman dan Sandakan pada sebelah petang.
Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hazani Ghazali pula meminta orang ramai agar keluar mengundi tanpa sebarang keraguan dan pihaknya memberi jaminan proses PRN Sabah akan berjalan lancar.
PRN tersebut diadakan selepas Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal membubarkan DUN Sabah sehari selepas bekas Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman mendakwa memperoleh cukup majoriti untuk membentuk kerajaan baharu.
— BERNAMA