KUALA LUMPUR – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin memberi jaminan kerajaan baharu negeri itu akan memberi fokus untuk menyelesaikan isu-isu rakyat.
Jelasnya, BN dan rakan-rakan sekutu dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan segera berbincang mengenai hala tuju serta penyelesaian pelbagai isu berkaitan rakyat.
“Kita akan pastikan kerajaan baharu ini akan terus membela rakyat Sabah,” katanya semasa sidang media di Kota Kinabalu, Sabah.
Yang turut hadir bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak serta Naib Presiden UMNO yang juga Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Bung Moktar turut mengambil peluang mengucapkan terima kasih kepada para pengundi serta jentera-jentera pilihan raya yang telah bertungkus lumus untuk menumbangkan Parti Warisan Sabah yang diterajui bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Shafie Apdal.
GRS yang dianggotai oleh Barisan Nasional, Perikatan Nasional dan Parti Bersatu Sabah (PBS) berjaya menubuhkan kerajaan negeri baharu apabila berjaya menawan 37 kerusi untuk menang majoriti mudah. – MalaysiaGazette