MEMBAKUT – Presiden Parti Cinta Sabah (PCS), Datuk Seri Anifah Aman membuang undi di SRK Kg Brunei pada jam 3.50 petang.
Anifah sempat memantau beberapa lokasi Pusat Daerah Mengundi (PDM) dan berpuas hati kerana ia berjalan lancar.
“Saya lambat kerana pantau lokasi-lokasi lain terlebih dahalu, kali ini PRN (Pilihan Raya Negeri) ini kita lalui dengan norma baharu namun syabas dan terima kasih kepada semua pengundi kerana keluar jalankan kewajipan masing-masing.
“Saya berharap semuanya berjalan dengan lancar dan baik sekali bukan sahaja di sini sebaliknya seluruh negeri ini tanpa sebarang insiden tidak diingini.
“Kepada yang belum mengundi, saya mohon kepada anda sekelian keluar memandangkan masa kurang dari sejam ketika ini,” katanya kepada MalaysiaGazette.
PRN Sabah yang ke-16 diadakan berikutan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) apabila Tan Sri Musa Aman mendakwa mempunyai bilangan Ahli Dewan Undangan Negeri yang mencukupi untuk membentuk kerajaan negeri yang baharu.
Tinjauan MalaysiaGazette di Pantai Manis, Bongawan, Membakut, Petagasmendapati pengundi keluar mengundi sejak awal pagi.
Terdahulu Shafie dalam laman Twitter menyeru penduduk Sabah turun menunaikan tanggungjawab memandangkan peratusan keluar mengundi tidak seperti yang dijangkakan. – MalaysiaGazette