TUARAN – Warga emas berusia 70 tahun adalah yang paling awal tiba di Pusat Mengundi DUN Sulaman, di Sekolah Kebangsaan Serusup bagi menunaikan tanggungjawab menentukan kerajaan negeri Sabah hari ini.
Hasnah Mukai, meskipun tinggal berdekatan dengan pusat pengundian, namun beliau memilih untuk keluar seawal 7 pagi untuk mengelakkan bertembung dengan pengundi lain dalam suasana penularan wabak Covid-19.
“Memang datang awal sebab saya warga emas jadi musim penyakit sekarang ini kan.
“Saya tidak berapa kuat jalan jadi, perlu keluar awal,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Untuk rekod, seluruh pusat pengundian bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah bermula 7:30 pagi hingga 5 petang.
Dalam pada itu, anak perempuan Hasnah iaitu Sanisah Yusuf, 49 tahun berkata beliau beria-ia membawa ibunya mengundi awal hari ini kerana bimbang terhadap kesihatan ibunya sebagai warga emas.
“Kalau keluar awal mengundi sebang sikit untuk elak bertembung ramai orang,” katanya lagi.
Sanisah berkata selain sebagai langkah berjaga-jaga beliau sudah tentunya sebagai rakyat Sabah bersemangat untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi hari ini.
Apatah lagi ujar beliau, pilihan telah dibuat lebih awal.
“Ada sudah pilihan lama sudah buat pilihan,” tambahnya.
PRN Sabah kali ini berlangsung dalam keadaan negeri itu menyaksikan peningkatan kes jangkitan Covid-19 saban hari. – MalaysiaGazette