KUALA LUMPUR – Sekurang-kurangnya 10 orang cedera selepas terlibat dalam kemalangan yang berlaku di Lebuh Raya Sungai Besi (SBE/Besraya) tengahari tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur (PGOKL) memaklumkan, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam berhubung kejadian pukul 2.08 petang.
Katanya, sejurus menerima panggilan tersebut sepasukan anggota dari Balai Bomba Pudu bergegas ke lokasi kejadian.
“Kejadian melibatkan sebuah lori, sebuah kereta dan dua buah kenderaan pebagai guna (MPV).
“Mangsa seorang pemandu lori yang berada dalam keadaan separa sedar berjaya dikeluarkan oleh anggota bomba.
“Manakala penumpang dan pemandu kereta serta MPV mengalami kecederaan ringan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Menurut jurucakap itu lagi, kesemua mangsa dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia untuk menerima rawatan lanjut.
Tambahnya, operasi menyelamat itu tamat sepenuhnya pada pukul 2.44 petang. – MalaysiaGazette