SEREMBAN – Sebuah kelab permotoran, Anita Bikers Club melaksanakan pendekatan tersendiri dalam usaha membantu kerajaan mengurangkan kemalangan jalan raya membabitkan penunggang motosikal menerusi penganjuran konvoi secara berhemah.
Presidennya Anita Yusop berkata menerusi kempen itu, peserta konvoi terlebih dahulu diajar oleh pakar pemotoran mengenai etika menunggang dan mengendalikan motosikal dengan betul termasuk ketika berdepan detik cemas.
“Selain mengajak mereka menunggang dengan berhemah sepanjang konvoi, kita juga akan melakukan pelbagai aktiviti lain seperti pembersihan pantai, pembersihan di kampung Orang Asli dan menyantuni anak yatim sebagai pengisian konvoi.
“Ini kerana kita mahu hobi menunggang motosikal ini turut memberi manfaat kepada masyarakat,” katanya kepada Bernama di sini.
Konvoi yang disertai 30 peserta itu bermula semalam di Sendayan di sini menuju ke Melaka sebelum ke utara negara dan kembali semula ke Melaka pada 30 Sept ini.- BERNAMA