PUTRAJAYA – Malaysia dilantik menganggotai Lembaga Gabenor Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) untuk tempoh 2020 hingga 2022 sebagai wakil untuk Asia Tenggara dan Pasifik.
Wisma Putra memaklumkan keputusan itu dicapai semasa sesi ke-64 Persidangan Umum IAEA di Vienna, Austria pada Khamis lalu.
“Malaysia telah berkhidmat dalam Lembaga Gabenor selama sembilan penggal sejak 1976.
“Sebagai anggota Lembaga, Malaysia komited sepenuhnya dan akan terus menyokong dan bekerjasama dengan IAEA dan negara anggota untuk memastikan potensi tenaga nuklear digunakan untuk tujuan damai,” menurut Wisma Putra dalam kenyataan dikeluarkan hari ini.
Persidangan Umum IAEA, yang bersidang setiap tahun dihadiri oleh perwakilan dan pegawai tinggi daripada negara anggota IAEA dan berfungsi sebagai forum antara kerajaan untuk kerjasama saintifik dan teknikal dalam menggalakkan penggunaan teknologi dan tenaga nuklear secara aman di seluruh dunia.- BERNAMA