KUALA LUMPUR – Polis menahan seorang lelaki warga tempatan di Taman Melati, di sini pada Khamis lalu dan merampas lima ketulan mampat daun-daun kering disyaki ganja seberat 5.1 kilogram.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Rajab Ahad Ismail berkata, berdasarkan maklumat suspek polis menahan tiga lagi lelaki tempatan dan seorang lelaki warga Indonesia di Kampung Baru, di sini
“Hasil pemeriksaan terhadap mereka polis berjaya merampas 20 ketulan mampat daun-daun kering disyaki ganja seberat 20.538 kilogram,” katanya pada sidang media di Balai Polis Setiawangsa hari ini.
Tambah Rajab Ahad, kesemua lima suspek itu disoal siasat dan berdasarkan maklumat terbaharu polis menemui sebuah kereta kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis RHD Grand Cherokee pada 25 September di Kampung Baru.
Menurutnya, siasatan lanjut mendapati kereta itu dijadikan tempat penyimpanan ganja.
“Setelah membuat pemeriksaan polis berjaya menemui 35 ketulan mmpat daun-daun kering disyaki ganja seberat 35.6 kilogram sebelum berjaya menahan seorang lelaki yang disyaki pemilik kenderaan itu yang turut ditahan di lokasi dan hari yang sama sekitar jam 1.30 pagi.
“Sisatan awal mendapati sindiket itu mengalihkan kenderaan setor ganja itu dari satu tempat ke tempat lain mengelak kegiatannya dihidu pihak berkuasa,” katanya sambil menambah jumlah keseluruhan rampasan ganja dianggarkan 61.286 kilogram bernilai RM154,250.
Menurutnya, kesemua suspek termasuk ketua sindiket berusia 57 tahun mendapatkan bekalan ganja dari Thailand dan menjual kepada tokan sebelum dijual kepada pengguna.
Manakala warga Indonesia itu merupakan seorang pendatang asing tanpa izin.
“Ujian urin ke atas kesemua suspek berusia lingkungan antara 42 hingga 57 tahun itu mendapati positif ganja dan syabu.
“Kesemua direman sehingga 1 Oktober 2020 untuk tindakan lanjut kes yang disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya, Seksyen 15(1)(A) Akta dadah Berbahaya dan Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63.
“Kertas siasatan akan dilengkapkan sebelum dimajukan kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan lanjut,” ujarnya. – MalaysiaGazette