KUALA LUMPUR – Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) gembira dengan pemilihan Ketua Perikatan Nasional (PN) Sabah, Datuk Hajiji Noor sebagai Ketua Menteri.
Datuk Seri Maxiumus Ongkili berkata, Hajiji adalah calon Ketua Menteri yang paling sesuai dan keputusan tersebut adalah konsisten dengan cadangan dan pendirian PBS semasa Pilihan Raya Negeri ke-16 yang lalu.
Tambahnya, parti-parti lain di bawah Gabungan Rakyat Sabah (GRS) hanya membuat keputusan untuk memilih Hajiji selepas melihat hasil PRN itu.
“Dengan sokongan yang diberikan oleh parti-parti di bawah GRS, kami yakin Hajiji boleh menjalankan tugas beliau dengan baik.
“Ini adalah berdasarkan pengalaman luas beliau sebagai bekas menteri kanan negeri dan wakil rakyat selama tujuh penggal,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah Maximus, PBS juga percaya, Hajiji boleh menunaikan mandat yang telah diberikan oleh rakyat dan menerajui Sabah selaku Ketua Menteri.
Pada tengahari tadi, Pengerusi Parti Bersatu Sabah itu mengesahkan Hajiji dipilih sebulat suara GRS untuk dilantik sebagai Ketua Menteri yang baharu.
Hajiji dijangka mengangkat sumpah di hadapan Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin di Istana Negeri pagi esok. – MalaysiaGazette