Home Ekonomi MED banci usahawan informal di seluruh negara

MED banci usahawan informal di seluruh negara

Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar

KUALA LUMPUR – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) sedang membuat bancian bagi mengenalpasti jumlah usahawan kecil yang tidak berdaftar di seluruh negara terutamanya di kawasan pedalaman.

Menterinya, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, langkah itu bertujuan agar mereka mendapat bantuan daripada kerajaan khususnya ketika negara sedang dalam pasca pandemik Covid-19.

Beliau berkata, bagi tujuan itu satu kertas kerja akan disediakan dan akan dibentang ke mesyuarat Kabinet memohon kelulusan untuk mendapatkan peruntukan bagi membantu usahawan informal yang terjejas itu.

“Saya dah bagi peringatan awal kepada Kabinet bahawa kementerian kini sedang buat bancian perangkaan negara bagi mengetahui jumlah usahawan infomal di seluruh negara.

“Yang kita tahu sekarang ini jumlahnya satu juta lebih atau dua juta. Tapi kalau bancian itu siap saya cukup yakin lebih daripada itu termasuk yang di pedalaman dan luar bandar.

“Saya dah beritahu, saya akan buat kertas Kabinet untuk mohon kerajaan beri bantuan yang merupakan satu keperluan yang disediakan demi membantu kepada pihak-pihak ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan majlis pertukaran memorandum antara SME Corp Malaysia dengan Axiata Digital Capital Sdn Bhd di sini hari ini.

Hadir sama pada majlis tersebut Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Kopeasi, Datuk Wira Mas Ermieyati Samsuddin; Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp, Rizal Nainy dan Ketua Pegawai Eksekutif Axiata Digital Capital Sdn Bhd, Mohd Khairil Abdullah.

Mengulas lanjut, Wan Junaidi berkata, sebelum ini kementeriannya hanya membantu usahawan yang terjejas akibat Covid-19 secara peribadi terutama kepada golongan B40.

Jelasnya, bantuan itu sangat kecil disebabkan kementerian tidak mempunyai bantuan khusus untuk membantu mereka melainkan usahawan yang berdaftar.

Beliau berkata, pihaknya berharap agar kerajaan dapat menerima cadangan itu sekiranya bancian yang dibuat siap sepenuhnya.

Tambahnya, data terperinci mengenai perkara itu mungkin akan diperoleh selewat-lewatnya Disember tahun ini.

Bagaimanapun katanya, nilai bantuan yang akan diberikan kepada usahawan informal itu belum diketahui dan dana akan dikeluarkan terlebih dahulu oleh pihak kementerian untuk membantu mereka mengikut jumlah tertentu.

“Kita boleh guna duit mana yang ada dulu jika kerajaan meluluskannya nanti.

“Peruntukan yang diluluskan oleh kerajaan akan menampung semula bajet yang telah kita keluarkan kepada usahawan informal,” ujarnya. – MalaysiaGazette