Home Nasional Menteri Luar Negeri kena kuarantin

Menteri Luar Negeri kena kuarantin

Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein menunjukkan gelang pink saringan Covid-19 di media sosialnya hari ini.

KUALA LUMPUR – Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein diarahkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk menjalani kuarantin di rumah.

Ahli Parlimen Sembrong itu berkata, beliau telah pergi ke Pitas, Sabah bagi membantu calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pitas, Sufian Abdul Karim baru-baru ini.

Sufian disahkan positif Covid-19 oleh KKM.

“Hari ini, saya telah diarah oleh KKM agar jalani kuarantin diri di rumah biarpun saringan awal yang dibuat ke atas saya sebaik tiba dari Sabah tempoh hari negatif.

“Saya tahu ada sebahagian daripada jentera BN telah disahkan positif. Saya harap semua yang positif ini tabah dan segera beroleh kesembuhan.

“Biarpun semasa kempen tempoh hari setiap SOP telah dipatuhi namun kita berdepan dengan virus yang tidak boleh dilihat,” ujarnya dalam kenyataan di media sosialnya hari ini.

Menurut Hishammuddin, risiko dijangkiti semasa berkempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah memang tinggi .

“Sebab itu saya kagum, biarpun sedar risiko ini, namun ia tidak sedikitpun melemahkan semangat jentera BN untuk berkorban demi agama, bangsa dan negara,” katanya.

Kepada semua yang baru pulang dari Sabah khususnya jentera BN, beliau measihatkan supaya menjalani saringan Covid-19 dan segera lapor sekiranya terdapat simptom.

“Seperti saya maklum, saya sendiri akan kuarantin diri di rumah. Sama-sama kita bantu usaha KKM tangani penularan wabak ini,” katanya.-MalaysiaGazette