KOTA KINABALU – Setiausaha Agung Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Jahid Jahim menyerahkan dokumen mengandungi sokongan terhadap calon Ketua Menteri daripada Perikatan Nasional (PN) atau Barisan Nasional (BN) yang dicadangkan untuk pertimbangan Yang Dipertua Negeri Sabah.
Dokumen berkenaan, jelasnya, mengandungi sokongan 41 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada PN, BN dan bebas.
Bagaimanapun beliau tidak memaklumkan sokongan yang diberikan itu untuk Datuk Seri Bung Moktar Radin atau Datuk Hajiji Noor.
“Saya mewakili Gabungan Rakyat Sabah menyampaikan kepada pihak pentadbiran untuk menghantar dokumen mengandungi sokongan sepenuhnya kepada sesiapa yang telah dicadangkan untuk pertimbangan TYT.
“Semua selesai, alhamdulillah kita telah hantar kesepakatan
semua 41 wakil GRS yang telah diterima pentadbiran istana untuk TYT sempurnakan pada masa yang telah ditetapkan,” katanya kepada pemberita.
GRS tambahnya, telah membuat persiapan untuk majlis angkat sumpah.
“Itu kita serahkan kepada TYT, kami telah bersedia,” tambahnya.
Jahid enggan mengulas apabila ditanya adakah wujud nama baru yang dicalonkan sebagai Ketua Menteri.
Terdahulu Naib Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Johnny Mositun ketika ditemui di luar Istana Negeri menafikan dakwaan partinya kini menyokong Parti Warisan Sabah (Warisan).
Beliau turut memaklumkan tiada wakil daripada Warisan yang menghubungi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PBS.
“Lupakan dakwaan itu, orang sengaja buat cerita, kami satu pasukan (dengan PN),” tambahnya. – MalaysiaGazette