LONDON – Lebih daripada 30 universiti di seluruh Britain melaporkan kes koronavirus sejak penggal persekolahan bahau bermula awal bulan ini menyebabkan ribuan pelajar mengasingkan diri, lapor media tempatan.
Tidak ada angka rasmi dari kerajaan atau pengawal selia Britain, tetapi penjejakan laporan tempatan menunjukkan bahawa sekitar 40 daripada 130 universiti di Britain telah mengalami kes Covid-19 setakat ini.
Sekurang-kurangnya 33 universiti di Britain kini mengesahkan kes Covid-19, dengan dua lagi kes yang disyaki, lapor Sky News pada Isnin.
Lebih daripada 717 kes koronavirus telah dikenal pasti dalam kalangan pelajar dan kakitangan sejak universiti dibuka semula, kata Sky News.
Manchester Metropolitan University telah meminta kira-kira 1,700 pelajar untuk mengkuarantinkan diri setelah 127 kes disahkan.
Universiti Glasgow mempunyai 172 kes yang disahkan, dengan 600 pelajar dikenakan arahan kuarantin.
Berikutan gejala itu, kebanyakan universiti berjanji untuk melaksanakan pengajaran atas talian – justeru timbul persoalan sama ada universiti akan mengembalikan semula yuran para pelajar ini memandangkan penuntut-penuntut perlu melunaskan bayaran kemudahan universiti.
University of Glasgow telah bersetuju untuk mengembalikan wang sewa sebulan kepada pelajar dan memberikan pembayaran sebanyak 50 pound untuk makanan. – MalaysiaGazette