Home Dunia CEO Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon dipecat kerana langgar etika

CEO Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon dipecat kerana langgar etika

Koo Bon-hwan

SEOUL – Kementerian Pengangkutan Korea Selatan pada Selasa memutuskan untuk memecat presiden dan ketua pegawai eksekutif Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon Corp. (IIAC) atas tuduhan lalai dan melanggar etika, lapor Agensi Berita Yonhap.

Koo Bon-hwan, dituduh melakukan kesalahan berkaitan isu peribadi dan melanggar etika berkaitan tindakan syarikat itu dalam langkah pencegahan bencana taufan.

Kementerian Tanah, Infrastruktur dan Pengangkutan dalam satu kenyatan berkata dalam siasatan kes itu yang bermula pada Jun, pihaknya mendapati Koo melanggar undang-undang operasi awam dan antirasuah.

Pada 2 Oktober 2019 Koo dilaporkan meninggalkan sesi audit parlimen dengan alasan perlu melakukan persediaan bagi menghadapi bencana taufan, kemudian beliau didapati menggunakan kad kredit syarikat untuk membayar perjumpaan makan malam berdekatan rumahnya.

Koo juga didapati tidak adil dalam mengendalikan urusan peribadi antara faktor yang turut mendorong kepada pemecatan beliau, kata kementerian.

Dalam sidang media pada Jumaat, Koo berkata peguamnya akan mempertimbangkan untuk memohon injunksi jika kementerian membuat keputusan akhir untuk memecatnya.- BERNAMA