Home Politik PBB kekal bersama GPS – Fadillah

PBB kekal bersama GPS – Fadillah

Fadillah Yusof

KUALA LUMPUR – Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB) buat masa ini tidak kembali ke pangkuan Barisan Nasional (BN) untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12 yang dijangka diadakan pada awal tahun depan.

Naib Yang Dipertua Kanan PBB, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, buat masa ini pihaknya kekal bersama Gabungan Parti Sarawak (GPS), namun tetap menjalin kerjasama erat dengan Kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Katanya, apa yang penting untuk PBB adalah memajukan negeri itu serta mengembalikan hak-hak Sarawak seperti yang termaktub di dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Sebelum ini, PBB bertindak keluar daripada Barisan Nasional selepas kalah Pilihan Raya Umum ke-14 yang lalu.

“Sejak keluar BN kami bersifat friendly dengan kerajaan Persekutuan dan bekerjasama erat dengan PN iaitu gabungan Ahli Parlimen yang terdiri dari Bersatu, Pas, UMNO dan juga komponen BN,” katanya.

Beliau menyatakan demikian selepas Majlis Pelancaran Pelan Strategik Jabatan Kerja Raya Malaysia 2021-2025 di Menara Lembaga Pertubuhan Peladang, hari ini.

Menurut Fadillah, kini pihaknya mahu memberi tumpuan kepada pembangunan dan hak-hak Sarawak di bawah Perjanjian Malaysia 1963

“Sama ada akan balik kepada BN sila tanya Ketua Menteri Sarawak tapi buat masa ini kami tidak berhasrat.

“Saya juga tidak tahu apakah pilihan raya negeri akan diadakan serentak dengan PRU15 nanti. Itupun kena tanya Ketua Menteri kami dan juga Perdana Menteri,” ujarnya. – MalaysiaGazette