Home Nasional Ramai belum lengkapkan e-Census

Ramai belum lengkapkan e-Census

Mohd Uzir Mahidin

KUALA LUMPUR – Pra-pendaftaran Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 (Banci 2020) Fasa 1 secara dalam talian (e-Census) akan berakhir pada 30 September 2020 (Rabu), jam 11.59 malam.

Berdasarkan status terkini, masih ramai yang belum menyelesaikan e-Census dengan lengkap, kata Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin.

Orang ramai yang telah berjaya membuat pra-pendaftaran dan menerima Invitation Code (IC) serta yang mengikuti dan mendapatkan IC di klinik e-Census, boleh melengkapkan pengisian e-Census sehingga 6 Oktober 2020 (Selasa), jam 11.59 malam.

Bagi orang ramai yang masih belum menerima IC, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) akan membantu untuk menyelesaikan padanan alamat tempat kediaman dan membekalkan IC dengan kadar segera sebelum pengisian berakhir pada 6 Oktober 2020.

Manakala bagi yang menghubungi talian hotline dan platform rasmi lain, mereka akan terus dihubungi untuk memastikan mereka dapat melaksanakan e-Census.

Menurutnya, Berikutan sambutan yang menggalakkan dari orang ramai untuk pengisian e-Census, DOSM telah menambah kekuatan pasukan petugas Banci 2020.

Antara sebab pra-pendaftaran yang tidak berjaya adalah padanan alamat tempat kediaman tidak dapat dibuat dalam sistem e-Census berikutan maklumat yang dibekalkan tidak lengkap atau terlalu umum; wujud perbezaan antara alamat yang dilaporkan dari segi ejaan, kaedah penulisan, huruf singkatan dan tidak mengikut standard penulisan alamat.

Bagi yang tidak berpeluang mengisi e-Census, mereka akan dibanci secara bersemuka (Fasa 2) mulai 7 hingga 24 Oktober 2020.

Mohd Uzir berkata, DOSM mengalu-alukan orang ramai untuk terus menghubungi DOSM melalui hotline 1-800-88-7720 atau emel ke [email protected] sekiranya menghadapi masalah berkenaan Banci 2020. – MalaysiaGazette