Home Politik Ada kalah sebab orang, ada juga sebab salah sendiri – Ahmad Maslan

Ada kalah sebab orang, ada juga sebab salah sendiri – Ahmad Maslan

Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR – Banyak yang boleh UMNO dan Barisan Nasional (BN) pelajari daripada keputusan Pilihan Raya Negeri Sabah.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, sama ada kawasan kalah atau menang, parti itu perlu muhasabah dan melakukan post-mortem untuk mencari punca kalah, juga menang.

“Ada kawasan yang dijangka menang tapi kalah kerana pelbagai gangguan.

“Ada juga jentera yang cukup baik, ada juga mesti diperbaiki.

“Ada kalah akibat salah orang, ada juga sebab salah sendiri,” katanya menerusi Twitter.

Beliau merujuk kepada kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), Karanan, Labuk, Sulaman, Kuala Penyu Nabawan dan Bandau.

Karanan, Labuk dan Sulaman berada di bawah BN selama tiga penggal manakala Kuala Penyu dan Nabawan dua penggal.

Bandau pula DUN baharu.

Kerusi-kerusi DUN itu kini dimenangi oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Hakikatnya, Ahmad berkata, UMNO mahupun BN berjiwa besar apabila sanggup berkongsi demi rakyat untuk menewaskan Parti Warisan Sabah dan DAP.

Beliau turut menzahirkan ucapan terima kasih yang ramai membantu UMNO dan BN sepanjang PRN Sabah. – MalaysiaGazette