Home Nasional Kerajaan jangan letak peminjam bawah telunjuk bank – Anwar

Kerajaan jangan letak peminjam bawah telunjuk bank – Anwar

Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR- Kerajaan sepatutnya melaksanakan moratorium pinjaman bersasar dengan fokus utama kepada peminjam yang berpendapatan rendah dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau kecewa apabila lanjutan moratorium secara automatik selama tiga bulan tidak dapat dilaksanakan seperti mana yang digesa oleh Pakatan Harapan.

Katanya, meskipun pelbagai inisiatif telah dijalankan namun pemulihan berkesan masih belum kelihatan terutamanya dalam aspek sumber pendapatan golongan berpendapatan rendah atau aliran masuk stabil PKS.

Sedangkan, peminjam-peminjam dalam kategori tersebut perlu diberi perhatian oleh kerajaan, tegasnya.

Tambah Anwar, kerajaan dan institusi perbakan mesti menonjolkan ketelusan dalam soal kecairan dan keuntungan terkini sektor perbankan dan membentangkannya di Parlimen.

Ini bagi membolehkan ahli-ahli Parlimen mencari jalan penyelesaian yang munasabah dan menyeluruh.

“Adalah sangat mengecewakan dengan keputusan kerajaan tatkala tidak melanjutkan moratorium pinjaman selama tiga bulan seperti yang digesa.

“Tidak semestinya moratorium penuh, namun ia adalah suatu pengabaian tanggungjawab yang amat serius apabila kerajaan gagal untuk mengenakan moratorium bersasar.

“Kepimpinan yang ada pada hari ini juga lemah tatkala meletakkan para peminjam di bawah telunjuk institusi bank.

“Menurut laporan terkini, bank-bank secara umumnya telah menghubungi seramai 1.4 juta peminjam, di mana sejumlah 380,000 dari angka tersebut telah memohon untuk lanjutan pinjaman dan bantuan kewangan. Dari 380,000 itu, sebanyak 98 peratus telah diberikan dukungan kewangan oleh institusi bank.

“Meski saya puji langkah tersebut, namun yang seharusnya diambilkira adalah terdapat 8.3 juta peminjam di Malaysia.

“Secara ringkasnya, bank-bank hanya dapat berhubung dengan 17 peratus dari jumlah keseluruhan peminjam.

“Angka ini tidak begitu meyakinkan, dan ia mencerminkan betapa kerajaan dan institusi bank masih belum memahami sentimen keseluruhan para peminjam.

“Saya gesa kerajaan untuk segera mengkaji semula langkah ini, dan melaksanakan moratoriun pinjaman secara bersasar, dengan fokus utama adalah kepada peminjam yang berpendapatan rendah dan pengusaha-pengusaha kecil dan sederhana,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.- MalaysiaGazette