KUALA LUMPUR – Puspakom Sdn. Bhd. (Puspakom) mengetatkan polisi pemulangan bayaran balik temujanji dalam talian MyPUSPAKOM bagi mengatasi isu tempahan temujanji palsu dan tempahan temujanji secara berlebihan.
Polisi baharu ini dibuat setelah hasil siasatan mendapati majoriti permohonan pemulangan bayaran balik adalah daripada pemilik akaun yang membuat
temujanji palsu atau membuat temujanji dengan banyak pada satu-satu masa dan kemudian membatalkan temujanji tersebut.
Hasil siasatan menunjukkan ada pemilik akaun MyPUSPAKOM membuat tempahan temujanji antara 100 hingga 500 tempahan dalam talian dalam masa sebulan namun tidak hadir.
Akibatnya, slot temujanji MyPUSPAKOM kerap penuh.
Puspakom percaya kegiatan ini dibuat oleh orang tengah yang menjalankan aktiviti mengaut keuntungan dengan menawarkan slot-slot temujanji yang ditempah mereka kepada pelanggan yang benar-benar ingin menjalankan pemeriksaan kenderaan terutamanya di pusat pemeriksaan di Lembah Klang.
”Pengguna akaun MyPUSPAKOM yang mempunyai kekerapan menjadualkan semula tempahan, membuat pembatalan dan memohon pembayaran balik akan dipantau dan disekat oleh sistem MyPUSPAKOM secara automatik untuk menghapuskan penyalahgunaan sistem tempahan oleh pengguna akaun yang tidak
bertanggungjawab,” katanya.
Oleh itu, mulai 10 Oktober 2020, Puspakom tidak akan mempertimbangkan sebarang permohonan pembayaran balik jika pelanggan tidak hadir untuk pemeriksaan kenderaan pada tarikh temujanji, tidak dapat membuat pemeriksaan kerana tidak membawa dokumen yang lengkap, membawa kenderaan yang berbeza dari kenderaan yang dinyatakan dalam slip pengesahan temujanji dan gagal memenuhi lain-lain terma dan syarat yang ditetapkan.
Puspakom akan membenarkan maksimum sehingga tiga tempahan temujanji bagi kenderaan persendirian untuk setiap pelanggan/pengguna sehari.
”Puspakom yakin apabila langkah-langkah ini dilaksanakan, akan ada lebih banyak lagi slot temujanji untuk tempahan bagi kenderaan persendirian mahupun
perdagangan melalui platform MyPUSPAKOM,” katanya sambil memberi jaminan kepada pelanggan bahawa ketersediaan slot pemeriksaan tidak melebihi tiga hari berkerja berbanding sebelum ini iaitu tujuh hari atau lebih.
Malah, Puspakom menggesa pelanggan terutamanya pengusaha-pengusaha kereta baharu dan terpakai untuk tidak melanggan perkhidmatan runner yang tidak beretika dan berhenti membeli slot temujanji daripada mereka.- MalaysiaGazette