Home Seni Hidup Raja Gelek mohon doa orang ramai agar segera sembuh

Raja Gelek mohon doa orang ramai agar segera sembuh

Penyanyi veteran, Datuk M. Daud Kilau

BAGAN DATUK – “Doakan kesihatan saya, andai saya pergi (meninggal dunia) sedekahkan al-Fatihah kepada saya,” demikian luahan penyanyi veteran, Datuk M. Daud Kilau.

M.Daud Kilau atau nama sebenar Muhammad Daud Kilau, 82, berkata, tahap kesihatannya semakin merosot sejak 2016 kerana menghidap sakit kencing manis, sakit pinggang, dan keadaan jantung tidak stabil, yang menyebabkan beliau bergantung kepada ubat-ubatan untuk meneruskan kehidupan seharian.

“Mudah-mudahan saya lekas (cepat) sembuh. Kalau tak baik pun, tak apa. Kalau saya pergi (meninggal dunia), doakan selamat pergi dan sedekahkan Al-Fatihah kepada saya.

“Saya sekarang duduk rumah nak bergerak pun tak lalu (tak larat). Saya banyak menghabiskan masa mencari saham akhirat terutama semasa sedang meniti sisa-sisa hidup,” katanya ketika ditemui semasa lawatan Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam dan Penerangan negeri, Mohd Akmal Kamarudin di kediamannya di Kampung Sungai Balai Baruh di sini, hari ini.

Raja gelek yang terkenal dengan lagu ‘Sirih Pinang’ dan ‘Cek Mek Molek’ itu kini tinggal bersama isterinya Datin Rohani Awang Ngah, 62, dan seorang anak lelaki.

“Saya dah lama menderita kencing manis, dah berpuluh tahun pun, sekarang saya ada sakit pinggang tidak boleh berdiri lama, sembahyang pun atas bangku saja, kaki tangan kebas, jantung tidak stabil dan kurang pendengaran,” katanya dan menambah beliau kini mendapatkan rawatan susulan di Klinik Kesihatan Bagan Datuk.

Penghibur terkenal itu mengakui terlalu rindu untuk mendendangkan lagu kepada orang ramai sambil bergelek dan mengenakan lebih 100 helai busana labuci yang sudah sebati dengan dirinya sejak era tahun 60-an lagi.

“Memang saya ada menerima undangan tetapi terpaksa menolaknya. InsyaAllah, jika semua sihat belaka, saya akan memenuhi undangan nanti,” katanya yang mempunyai dua orang anak dan sembilan orang cucu.

Sementara itu, Mohd Akmal berkata, beliau yang mewakili kerajaan negeri prihatin dengan nasib menimpa penyanyi veteran tanah air itu dan akan melihat bentuk bantuan yang dapat disalurkan kepada M.Daud Kilau.

“Kita melihat sendiri keadaannya yang uzur dengan pelbagai penyakit sehingga tidak dapat keluar mencari rezeki dan kerajaan negeri melalui Baitulmal akan cuba membantu,” katanya.

Karier nyanyian M Daud Kilau bermula selepas beliau menjuarai Bintang Radio pada 1968. – Bernama