Home Nasional SOP ibadah umrah belum diperoleh – Menteri

SOP ibadah umrah belum diperoleh – Menteri

Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri

KUALA LUMPUR – Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi masih belum mengeluarkan Tatacara Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi pelaksanaan ibadah umrah dalam suasana Covid-19 yang masih belum pulih.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al- Bakri berkata, kerajaan Malaysia telah mendapatkan maklumbalas daripada pihak Kedutaan Arab Saudi di sini dan sehingga kini belum ada sebarang pengumuman mengenai perkara itu.

“Kerajaan akan sentiasa berusaha mendapatkan perkembangan semasa dan terkini daripada Kementerian Haji serta Umrah Arab Saudi dan bekerjasama dengan Agensi Pengelola Umrah bagi memudahkan pelaksanaan ibadah umrah bagi umat Islam di Malaysia,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menurut Zulkifli lagi, SOP yang dikeluarkan akan menetapkan bilangan jemaah dalam penerbangan, bilangan bilik penginapan jemaah, bilangan jemaah dalam bas dan lain-lain.

Tambahnya, kos pengangkutan dan penginapan adalah antara yang dijangka mengalami perubahan.

“Sehubungan itu, agensi pengelola umrah disarankan menunggu SOP yang ditetapkan oleh Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi sebelum kos sebenar yang akan dikenakan kepada jemaah yang berhasrat untuk menunaikan umrah dapat ditetapkan.

“Pertambahan kos menunaikan umrah melebihi RM3,000 seperti yang diuar-uarkan oleh sebuah akhbar tempatan itu adalah anggaran yang dinyatakan oleh pihak tertentu sebelum SOP dikeluarkan oleh Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi,” katanya. – MalaysiaGazette