Home Nasional Staf positif Covid-19, Fahmi Fadzil jalani kuarantin di rumah

Staf positif Covid-19, Fahmi Fadzil jalani kuarantin di rumah

Ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil menjalani saringan Covid-19 di Klinik Kesihatan Jalan Tangling selepas salah seorang stafnya disahkan positif Covid-19 selepas pulang dari Sabah. Foto: FB Fahmi Fadzil

KUALA LUMPUR – Salah seorang pekerja di pejabat Pusat Kerja dan Latihan Lembah Pantai disahkan positif Covid-19 selepas pulang dari Sabah.

Dengan itu, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil bersama semua kakitangan pejabat tersebut terpaksa membuat saringan Covid-19 pagi tadi dan diarah menjalani kuarantin di rumah.

Pejabat tersebut juga ditutup sehingga arahan kuarantin di rumah selesai, kata Pengarah Komunikasi PKR itu.

“Semalam salah seorang staf pejabat saya yang baru pulang dari Sabah pada 25 September telah disahkan positif Covid-19. Beliau telah dibawa ke Hospital Sg Buluh untuk rawatan dan isolasi.

“Kali terakhir saya ke Sabah adalah pada 5-6 September lalu, dan kali terakhir saya bertemu dengan staf pejabat tersebut adalah pada 21 September.

“Namun, mengikuti prosedur standard operasi (SOP) serta arahan Kementerian Kesihatan Malaysia dan Pejabat Kesihatan Daerah Lembah Pantai, dan memandangkan staf tersebut merupakan kontak rapat kami, pagi ini saya dan semua staf pejabat telah hadir ke Klinik Kesihatan Tanglin untuk membuat saringan Covid-19.

“Kami akan menjalani kuarantin di rumah mengikut tempoh yang diarahkan PKD Lembah Pantai,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Justeru, Fahmi meminta orang ramai terutamanya warga Lembah Pantai yang perlu berurusan dengan pejabat beliau untuk berkomunikasi melalui laman Facebook atau emel sahaja.- MalaysiaGazette