WASHINGTON – Suruhanjaya Perbahasan Presiden (CPD) yang mengendalikan debat Presiden Amerika Syarikat (AS) memaklumkan akan mengubah format untuk memastikan baki dua pertemuan antara Donald Trump dan Joe Biden lebih teratur.
Satu langkah baharu adalah dengan menghentikan fungsi mikrofon jika salah seorang calon mengganggu, lapor media AS.
Pengumuman itu menyusul selepas debat pertama yang menyaksikan pertengkaran, pergaduhan dan penghinaan.
Pasukan Trump telah mengkritik rancangan suruhanjaya itu.
Perdebatan kali pertama oleh kedua-duanya telah dikritik di AS dan di seluruh dunia.
Dalam perbahasan pada hari Selasa, kedua-dua mereka diberi waktu dua minit untuk menjawab soalan moderator, sebelum diizinkan untuk saling memberi respons.
Nagaimanapun, Trump terus mengganggu pesaingnya, Joe Biden yang mengakibatkan keadaan bertukar menjadi huru-hara apabila mereka saling berbalas cakap antara satu sama lain.
CPD – sebuah badan bukan parti poliik menganjurkan debat presiden sejak tahun 1988 – mengatakan akan segera mengumumkan langkah-langkah baharu untuk membantu moderator “menjaga ketertiban” dalam dua debat lagi.
Ia menyatakan debat pertama telah “menjelaskan bahawa struktur tambahan harus ditambahkan ke format perdebatan untuk memastikan perbincangan mengenai isu-isu yang lebih teratur”.
CBS News, memetik sumber yang memaklumkan suruhanjaya itu menghabiskan 48 jam untuk menyusun garis panduan dan peraturan baharu untuk perdebatan kedua pada 15 Oktober di Miami, Florida. – MalaysiaGazette