Home Pendapat Hargai pekerja dengan pengiktirafan

Hargai pekerja dengan pengiktirafan

USIM baru-baru ini menganjurkan Majlis Anugerah Kecemerlangan dan Inovasi 2019 bagi meraikan, menghargai dan lebih utama mengiktiraf warga universiti yang telah menunjukkan kecemerlangan unggul dalam perkhidmatan khususnya sepanjang tahun lalu.

PENGIKTIRAFAN kepada pekerja akan mewujudkan iklim organisasi yang positif, produktif dan inovatif.

Melalui pengiktirafan yang diberikan, ia sebenarnya menggalakkan lebih banyak tindakan dan merangsang pemikiran seseorang kakitangan tersebut untuk mempercayai bahawa dirinya memiliki potensi dan kemampuan untuk terus menyumbang kepada kemajuan dan kejayaan organisasinya.

Kebiasaannya perhatian lebih diberikan majikan dalam perkara kebajikan pekerja melalui penyediaan pelbagai bentuk pakej kesejahteraan erlindungan kesihatan, percutian, kursus latihan ataupun penajaan menyambung pengajian, tetapi memberi pengiktirafan juga adalah ‘pakej’ yang tidak boleh diabaikan atau dianggap bukan keutamaan.

Pengiktirafan kepada kakitangan secara hakikatnya adalah satu bentuk pengiktirafan kepada kualiti kerja yang telah ditunjukkan oleh kakitangan tersebut kerana pekerja yang berkualiti adalah aset utama sesebuah organisasi.

Kualiti kerja adalah bagaimana sesuatu kerja itu dilaksanakan dan output darinya adakah berjaya memenuhi ekspektasi yang diperlukan.

Di dalam Islam, bekerja merupakan suatu amanah yang menuntut kekuatan mental, fizikal dan rohani seseorang. Bekerja di dalam Islam juga merupakan perkara yang berkait rapat dengan etika dan moral untuk menghasilkan kerja berkualiti kerana di situlah kerja akan dinilai sebagai ibadah di sisi Allah SWT.

Jika kita melihat definisi kualiti itu sendiri menerusi Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka Edisi Keempat, ia ditakrifkan mengenai darjah kecermerlangan yang pada kebiasaannya adalah tinggi atau bermutu.

Kualiti kerja sememangnya amat dititik beratkan di dalam sesebuah pengurusan organisasi kerana tanpanya akan pincanglah fungsi, kemandirian dan kelangsungan organisasi tersebut.

Tambahan pula jika organisasi tersebut adalah sebuah institusi yang besar dan kompleks misalnya institusi pendidikan tinggi seperti universiti penulis berkhidmat ini. Universiti ini ada ramai pemegang taruhnya, justeru disandarkan padanya pelbagai Petunjuk Prestasi Utama (KPI), rating mahupun ranking untuk dicapai dalam sekian tempoh tertentu.

Justeru, mempunyai kakitangan berkualiti di semua peringkat pentadbiran dalam setiap jabatan adalah satu dambaan kerana kakitangan yang berkualiti merupakan satu terjemahan kepada kejayaan organisasi berkenaan menghasilkan sumber manusia kelas pertama yang seterusnya menjadi aset berharga untuk kecemerlangan organisasi dalam jangka masa panjang.

Melalui pemerhatian penulis, setiap majikan mempunyai pelbagai pendekatan dalam memberi pengiktirafan kepada para kakitangannya dan organisasi kerajaan misalnya memberi pengiktirafan melalui Anugerah Perkhidmatan Cemerlang.

Universiti penulis juga baru-baru ini telah selesai menganjurkan Majlis Anugerah Kecemerlangan dan Inovasi 2019 bagi meraikan, menghargai dan lebih utama mengiktiraf warga universiti yang telah menunjukkan kecemerlangan unggul dalam perkhidmatan khususnya sepanjang tahun lalu.

Melalui majlis ini, bukan sahaja kakitangan yang cemerlang dijemput ke pentas untuk menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan anugerah lain yang seangkatan dengannya, malahan kakitangan yang berkhidmat penuh setia kepada universiti sekurang-kurangnya 15 tahun turut diberi pengiktirafan dengan Anugerah Bakti Setia.

Sememangnya pengiktirafan akan menaikkan lagi motivasi seseorang kakitangan tersebut untuk terus berkreativiti dan berinovasi dalam pekerjaan mereka.

Penulis suka memetik beberapa intipati ucapan oleh Profesor Dato’ Dr. Siddiq Fadzil, Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti dalam majlis berkenaan.

Pertamanya beliau menyatakan setiap pekerja secara azalinya dibekalkan dengan inovasi dan kreativiti dalam dirinya dan menjadi tugas dan tanggungjawab pimpinan organisasi tersebut untuk menggilap setiap kelebihan potensi diri kakitangannya seterusnya menjadikan mereka ‘bintang’.

Justeru majikan perlu mencari dan menyediakan platform yang bersesuaian untuk melihat setiap kelebihan yang dimiliki oleh kakitangannya dapat diserlahkan.

Perkara kedua yang disentuh adalah penekanan kepada menekankan budaya persaingan sesama rakan sekerja perlu wujud dalam sesebuah organisasi.

Pada pengamatan penulis, persaingan yang dimaksudkan itu bukanlah dalam bentuk yang tidak sihat yang selalu dikaitkan dengan terma negatif seperti politik pejabat, kaki kipas, kaki bodek, pengampu dan seumpamanya sehingga membinasakan hubungan sesama kakitangan.

Apa yang mahu dilihat beliau adalah persaingan sihat yang padu dan lebih penting persaingan itu tidak harus dipisahkan dengan elemen kerjasama.

Menurut beliau persaingan dan kerjasama itu perlu saling mendukung antara satu sama lain sebagai satu pendekatan competitive cooperative.

Ketiga adalah bagaimana pengiktirafan dan anugerah yang diterima dimaknai dengan tekad dan komitmen kolektif untuk memberi sumbangan dan khidmat bakti lebih besar kepada masyarakat tanpa dibataskan pada kaum, agama mahupun budaya sekaligus menonjolkan teladan sebagai ‘khairu ummah’ (umat terbaik) yang disebut di dalam al-Quran.

Penulis merasakan apabila setiap kakitangan merasakan organisasi mereka mengambil perhatian kepada pentingnya memberi pengiktirafan, ia secara langsung akan membentuk satu nilai baharu kepada kakitangan di organisasi berkenaan iaitu nilai untuk ‘lebih memberi’ dan ‘tidak berkira’ sepanjang berkhidmat.- MalaysiaGazette

Penulis adalah Timbalan Pengarah Pusat Komunikasi Strategik USIM serta Exco Persatuan Pegawai Tadbir dan Ikhtisas (PRAGMATIS) USIM.

Penulisan ini adalah merupakan pandangan peribadi penulis